2 Kakitangan Bursa Malaysia Positif COVID-19

2 Kakitangan Bursa Malaysia Positif COVID-19

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd memaklumkan bahawa DUA (2) kakitangan telah didapati positif COVID-19.

“Pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dihubungi, dan kakitangan tersebut kini dalam pengasingan dengan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Bursa telah menjalankan pengesanan kontak dan mengenal pasti pergerakan kakitangan yang dijangkiti itu…

“Sebagai langkah segera, kakitangan Bursa Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan tersebut akan dihantar untuk menjalani ujian dan bekerja dari rumah sehingga keputusan ujian mereka negatif,” katanya yang dipetik Bernama.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kakitangan yang mempunyai hubungan tidak langsung juga akan bekerja dari rumah. Bursa Malaysia akan memberikan sokongan yang diperlukan jika mereka memilih untuk menjalani ujian secara sukarela,” katanya lagi.

Bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya, kerja-kerja pembersihan dan sanitasi kini sedang dilakukan.

“Bursa Malaysia mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya. Kami akan terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dan telah dijalankan sejak bermulanya pandemik ini,” menurut Bursa Malaysia, sambil menambah syarikat memberi jaminan bahawa bursa saham beroperasi seperti biasa.

“Tiada gangguan terhadap fungsi penting dan sokongan kami di Bursa, dan pelan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan kami telah disediakan untuk memastikan kelancaran fungsi operasi kami jika berlaku insiden sedemikian,” katanya.