AIM Telah Bayar Balik Pinjaman Kerajaan Sebanyak RM214,867,103 Kepada Kementerian Kewangan –...

AIM Telah Bayar Balik Pinjaman Kerajaan Sebanyak RM214,867,103 Kepada Kementerian Kewangan – Lajim

0
SHARE
Datuk Seri Lajim Ukin...(Sumber Foto; MAHA)

KOTA KINABALU, SABAH – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah membuat bayaran balik pinjaman kerajaan sebanyak RM214,867,103 kepada Kementerian Kewangan sebagai pembayaran balik sebahagian daripada pinjaman daripada kerajaan bermula dari tahun 1998.

Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata pembayaran pinjaman itu telah dibuat secara berperingkat.

Untuk rekod, AIM secara keseluruhannya telah menerima pinjaman daripada kerajaan sebanyak RM857.97 juta yang terdiri daripada lapan peringkat pinjaman bermula dari tahun 1996 sehingga tahun 2011.

Lajim menjelaskan bahawa AIM telah membayar RM20 juta bermula pada tahun 2011, diikuti 2012 (RM45,367,102.50); 2013 (RM10 juta); 2015 (RM2 juta); 2016 (RM7 juta); 2017 (RM8 juta); 2019 (RM 14.5 juta); dan pembayaran terkini pada Februari 2021 berjumlah RM100 juta.

“Pinjaman daripada kerajaan yang dibuat adalah sebahagian usaha AIM dalam memberi pinjaman mikro kepada golongan B40 khususnya golongan wanita untuk dijadikan sebagai modal awal mereka memulakan perniagaan.

“Usaha AIM ini telah membuahkan hasil apabila sehingga tahun 2021, sebanyak 939,754 peminjam AIM yang dikenali sebagai Sahabat telah mendapat manfaat dan menjadikan keseluruhan jumlah jangkauan rakyat Malaysia yang menerima kebaikan daripada usaha AIM membasmi kemiskinan ialah sebanyak 3,759,016,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Lajim turut memperincikan pinjaman pertama telah dibuat pada 10 Oktober 1996 berjumlah RM101,468,410.00 bagi membiayaai Skim Pembiayaan Ikhtiar.

“Pada 21 Disember 1998, AIM menerima pinjaman kali kedua sebanyak RM100 juta bagi membiayai skim yang sama…

“Ia kemudiannya diikuti pada tahun 2006 hingga 2008, dengan jumlah sebanyak RM371.5 juta, (RM171.5 juta diterima pada tahun 2006), RM100 juta masing-masing pada tahun 2007 dan 2008.

“Pada tahun 2010 pula, AIM telah menerima pinjaman sebanyak RM165 juta bagi membiayai program SPI (RM123 juta) dan Program Mikrobandar (RM42 juta),” beliau berkata lagi.

Kali terakhir AIM menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan adalah pada tahun 2011 iaitu pada 21 Jun 2011 dan 27 Disember 2011 masing-masing sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan Program Pembiayaan Ikhtiar.

Beliau berpendapat jumlah pinjaman itu dapat dilangsaikan dalam anggaran LIMA (5) tahun dari sekarang.

Tambah beliau, pihak AIM dan SESB sedang giat bekerjasama untuk melaksanakan program CSR (Tanggungjawab Sosial Koprat) bagi membantu membaik pulih rumah peserta AIM di Sabah.

“Kos pembaikan pulih tidak akan melebihi RM 800 sebuah rumah dimana kerja pendawaian semula rumah akan dikendalikan oleh SESB.

“Kerjasama program CSR yang lain juga sedang dibincangkan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membantu golongan masyarakat B40 yang tersenarai dalam sistem e-Kasih,” jelas Lajim.

Beliau memberi jaminan bahawa taraf hidup Sahabat adalah stabil tanpa kebimbangan megulas terdapat sekitar 70,000 peserta di Sabah.

“Ini adalah usaha AIM untuk terus menjana ekonomi negara dengan menyediakan peruntukkan pinjaman baru dan tambahan kepada peminjam sedia ada.”