IBU BERKAKI KUDUNG TETAP PUJI ANAK WALAUPUN DITINGGALKAN OLEH ANAKNYA DITEPI JALAN

IBU BERKAKI KUDUNG TETAP PUJI ANAK WALAUPUN DITINGGALKAN OLEH ANAKNYA DITEPI JALAN

0
SHARE

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: “Tetaplah bersamanya (ibu) kerana sesungguhnya syurga itu dibawah kedua kakinya”.
(Hadith riwayat al-Hakim dan lain-lain)

SELANGOR – Sejak kelmarin tular satu kisah yang amat menyedihkan yang mana seorang ibu warga emas kudung kaki ditinggalkan ditepi jalan oleh anak kandungnya sendiri.

Walaupun telah ditinggalkan oleh anaknya, ibu tersebut masih tetap memuji kebaikan anaknya.

Kisah ini turut mengundang simpati orang ramai dan telah dimuat naik  melalui laman sosial Facebook Lembaga Zakat Selangor.

Menurut Lembaga Zakat Selangor berkata; “kami menerima info dari orang awam yang terjumpa seorang wanita warga emas berkerusi roda ditinggalkan berseorangan di tepi jalan berserta lampin pakai buang dan beg pakaian.”

“Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini.”

“Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga. Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.”

“Oleh kerana keadaannya yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, kami terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib.”

“Pihak polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka. Anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu ini kembali.”

“Namun, sekitar jam 3 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19.”

“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“..dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya”.

“Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya”.

“Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor.”

“Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan info kepada kami. Juga buat pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.”

“Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.”

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu‘anhu, beliau berkata: “Seseorang datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Adz-Dzahabi rahimahullaah berkata dalam kitabnya Al-Kabaair, “Ibumu telah mengandungmu di dalam perutnya selama sembilan bulan, seolah-olah sembilan tahun. Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir saja menghilangkan nyawanya.

Dia telah menyusuimu daripada putingnya, dan ia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu. Dia cuci kotoranmu dengan tangan kirinya, dia lebih utamakan dirimu daripada dirinya serta makanannya.

Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu. Dia telah memberikanmu semua kebaikan dan apabila kamu sakit atau mengeluh tampak darinya kesusahan yang luar biasa dan panjang sekali kesedihannya dan dia keluarkan harta untuk membayar doktor yang mengubatimu.

Seandainya dipilih antara hidupmu dan kematiannya, maka dia akan meminta supaya kamu hidup dengan suaranya yang paling keras. Betapa banyak kebaikan ibu, sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik.

Dia selalu mendoakanmu dengan taufik, baik secara sembunyi maupun terang-terangan. 

Tatkala ibumu membutuhkanmu di saat dia sudah tua renta, engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga di sisimu.

Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar. Engkau puas minum dalam keadaan dia kehausan. Engkau mendahulukan berbuat baik kepada isteri dan anakmu daripada ibumu. Engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia perbuat.

Berat rasanya atasmu memeliharanya padahal itu adalah urusan yang mudah. 

Engkau kira ibumu ada di sisimu umurnya panjang padahal umurnya pendek. 

Engkau tinggalkan padahal dia tidak punya penolong selainmu.
Padahal Allah telah melarangmu berkata ‘ah’ dan Allah telah mencelamu dengan celaan yang lembut. 

Engkau akan disiksa di dunia dengan derhakanya anak-anakmu kepadamu. 

Allah akan membalas di akhirat dengan dijauhkan daripada Allah Rabbul ‘aalamin.”

Untuk renungan anak-anak diluar sana…

(Ihsan daripada portal ILuvIslam.My)