Kerajaan Sarawak Sedia Kaji Semula Dasar Industri Pembalakan Di Negeri Itu –...

Kerajaan Sarawak Sedia Kaji Semula Dasar Industri Pembalakan Di Negeri Itu – Abang Johari

0
SHARE

SIBU, SARAWAK – Kerajaan Sarawak bersedia untuk mengkaji semula dasar industri pembalakan negeri jika ia bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan terlibat dalam industri itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata antara aspek yang diberi penekanan ialah penanaman semula hutan dan penyertaan rakyat dalam industri pembalakan negeri.

“Kalau mahu menstruktur semula industri pembalakan Sarawak, kita boleh struktur semula,” katanya semasa berucap di Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Zon Tengah Sarawak di sini, kelmarin.

Memetik laporan Bernama, penstrukturan semula itu menurut Abang Johari termasuklah memastikan pemegang lesen pembalakan di Sarawak memenuhi komitmen mereka untuk menanam semula hutan yang telah diterokai dengan pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil pendapatan.

“(Kita tahu) ada pemegang lesen pembalakan sebelum diberi lesen, menyatakan kesanggupan untuk menanam semula hutan yang mereka terokai bagi mengganti pokok-pokok yang telah ditebang, namun mereka sebaliknya tidak berbuat demikian,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaaan Sarawak sudah memiliki teknologi penggunaan dron untuk mengenal pasti kawasan-kawasan baharu, di mana pokok yang ditanam boleh ditebang dalam tempoh enam tahun sahaja.

Beliau berkata Sarawak yang beriklim tropika, memudahkan benih-benih pokok untuk tumbuh subur dan membesar dengan pantas kerana ia boleh mendapat hujan dan cahaya matahari yang mencukupi.

Dalam sidang media selepas majlis itu, beliau berkata penambahbaikan dalam dasar pembalakan di Sarawak akan memberi penekanan terhadap penglibatan rakyat dalam industri berkenaan.

Menurutnya kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Sarawak akan membuat kajian menyeluruh sebelum penstrukturan semula dasar itu dilaksanakan.

“Dari sudut lesen, ada di bawah Yayasan Sarawak dan STIDC (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak), mungkin kita timbang kumpulan sasar yang boleh memegang saham dalam industri pembalakan,” katanya.