Kes Pembunuhan Anggota Polis; Suspek Berjaya Ditahan Di Dalam Pesawat

Kes Pembunuhan Anggota Polis; Suspek Berjaya Ditahan Di Dalam Pesawat

0
SHARE
Sumber Foto; Berita Harian

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan, susulan pembunuhan Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditetak dan ditembak ketika bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, awal pagi semalam.

Memetik kenyataan Berita Harian, seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan ketika berada dalam pesawat, yang bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sibu, Sarawak, pada jam 7.40 malam tadi.

Sumber berkata, sejurus ditahan, lelaki yang berasal dari Sarawak, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Valentino yang bertugas sendirian, ditemukan mati dengan kesan tetakan di kepala serta tembakan pada jarak dekat di Balai Polis Pinggiran USJ, pada jam 3.25 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata kejadian malang yang menimpa mangsa disedari anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang kembali ke balai terbabit selepas selesai rondaan.

“Kira-kira jam 3.25 pagi tadi, anggota MPV yang kembali ke Balai Polis Pinggiran USJ mendapati keadaan di situ gelap.

“Apabila anggota terbabit ke bahagian pertanyaan dalam balai, beliau ternampak anggota bertugas dalam keadaan tertiarap dan sebaik lampu dinyalakan, kepala mangsa dilihat berdarah dan luka.

“Pada masa sama, ada kesan tembakan di bahagian tengah belakang badan mangsa,” katanya.

Mazlan berkata, berdasarkan siasatan awal, ada saksi berada di kawasan berdekatan mendakwa terdengar bunyi letupan kira-kira jam 2.40 pagi, namun menyangka ia adalah bunyi mercun berikutan sambutan Hari Kebangsaan.

Berikutan itu, beliau berkata, kejadian tidak dilaporkan lebih awal.

Mazlan berkata, pistol mangsa didapati hilang dan dipercayai dilarikan penjenayah. Pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota terbabit ditembak dari jarak dekat dengan senjata api sendiri.

Katanya, serangan terhadap mangsa dipercayai berlaku selepas lawatan pegawai ke balai berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Beliau berkata, mangsa yang berkhidmat selama tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah berkahwin tetapi belum mempunyai anak.

Katanya, siasatan awal mendapati tidak ada unsur lain dan kejadian terbabit menjurus kepada tindakan menyerang anggota polis yang sedang bertugas.

“Mangsa juga tidak mempunyai masalah peribadi atau keluarga. Polis tidak menolak kemungkinan serangan dilakukan lebih daripada seorang penjenayah.

“Kita sedang mendapatkan bantuan pemilik premis berdekatan sekiranya mereka ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan dalam usaha memburu penjenayah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat setempat yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan pembunuhan itu.

Sementara itu, jenazah anggota polis terbabit dihantar pulang menggunakan penerbangan ke Sibu, Sarawak, petang semalam, seterusnya diiring ke kampung halaman mendiang untuk urusan pengebumian.