Ketua Menteri Rasmi Program Vaksinasi COVID-19 Sabah 4 Mac Ini

Ketua Menteri Rasmi Program Vaksinasi COVID-19 Sabah 4 Mac Ini

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijadual merasmikan Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Sabah pada 4 Mac ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Memetik laporan Bernama, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata penghantaran pertama vaksin COVID-19 dijangka tiba di Sabah Khamis ini (25 Feb), bagaimanapun butiran seperti individu pertama penerima vaksin serta bila suntikan pertama vaksin itu dibuat di negeri ini masih dalam perbincangan.

“Setakat ini, 109 buah Pusat Pemberian Vaksin telah dikenal pasti. Jumlah Pusat Pemberian Vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini malam tadi.

Kelmarin (22 Feb), Hajiji dilaporkan sebagai berkata vaksin COVID-19 jenis Pzer-BioNTech dijadualkan tiba di Sabah pada Khamis ini dan beliau sendiri akan menyambut ketibaan bekalan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.

Pada Isnin lalu Malaysia telah menerima 312,390 dos kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pzer-BioNTech.

Masidi berkata perancangan awal Fasa 1 program pemberian vaksin itu hanya merangkumi petugas kesihatan barisan hadapan daripada sektor kerajaan dan swasta, dan juga petugas perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan seperti polis, tentera, bomba dan Jabatan Imigresen.

“Namun Kerajaan Sabah akan membuat pertimbangan teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam Fasa 1 kepada guru-guru yang mempunyai komorbiditi kesihatan dan faktor-faktor risiko yang lain,” katanya.

Datuk Masidi Manjun…

Sementara itu, Masidi berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah bermula esok sehingga 8 Mac.

“Pengisytiharan PKPD itu adalah susulan daripada peningkatan mendadak kes COVID-19 di lokaliti berkenaan yang mencatatkan 57 kes positif hasil daripada 226 ujian saringan…

“Perlaksanaan PKPD itu juga adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 545 orang penduduk yang tinggal di lokaliti berkenaan dan seterusnya untuk mengawal jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” tambahnya lagi.