LAHAD DATU, SABAH – Beberapa buah kampung di daerah Lahad Datu dilanda banjir bermula awal pagi tadi ekoran daripada hujan yang turun secara berterusan sejak malam tadi.
Hujan yang berterusan turut menyebabkan air sungai naik melebihi paras biasa (normal) dan melimpah ke kampung-kampung berdekatan dengan Sungai Segama iaitu kampung Segama Lama, Kampung Cocos, Sepadulang, Batu 8 Segama dan Kampung Belacon.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam (APM) Leftenen (PA) Asby Mohd Anwar ketika di hubungi RTM berkata, banjir melebihi 2 meter itu, mencecah paras lantai rumah penduduk, namun dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, dua kampung di jalan Silam iaitu kampung Terusan dan Sapagaya selain kampung Pancuran, Taman Katak di kawasan Pekan, 4 kawasan di Jalan Silabukan iaitu Taman Khazanah Indah, Sungai Zakilan, Bikang dan Sungai Silabukan hanya mengalami banjir kilat disebabkan hujan bertembung dengan air laut pasang.

Beberapa jalan rendah daripada paras laut dan berhampiran sungai iaitu dari Casa Pelastik – Silabukan juga tidak boleh dilalui pengguna jalan raya disebabkan banjir kilat, namun tidak lama kemudian air beransur surut.