PAS Dicabar Ambil Kerusi PKR Pada PRU14 – AMK

PAS Dicabar Ambil Kerusi PKR Pada PRU14 – AMK

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mencabar PAS supaya bertanding di kerusi yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Azri Zainal Nor berkata PAS kini melontarkan pelbagai tohmahan kepada PKR sedangkan parti itu sentiasa cuba menjaga hubungannya dengan PAS.

“Kita selama ini cuba nak pertahankan hubungan suci ini tetapi apa yang kita dapat? Kerusi kita dia nak?, Jika mereka bertanding di kerusi kita lagi pastikan mereka hilang deposit,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad pada Kongres Nasional AMK, di sini, hari Sabtu.

Sementara itu perwakilan dari Johor, Naim Jusri berkata exco PAS di Selangor perlu meletak jawatan sekiranya parti Islam itu mahu dilihat sebagai parti yang bermaruah dan ikhlas dalam perjuangan mereka.

Beliau berkata ia susulan keputusan Majlis Syura Ulama PAS menamatkan hubungan politik dengan PKR.

“Kalau mereka anak jantan, letak jawatan sekarang.” katanya.

Muktamar PAS ke-63 bulan lepas, meluluskan usul supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan kerana PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Susulan itu, pada 16 Mei lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata parti itu memutuskan supaya semua lantikan politik anggota PKR dalam kerajaan Kelantan supaya melepaskan jawatan berkuat kuasa serta merta.

– BERNAMA