Pejabat Kesihatan Tawau Keluarkan Lebih 400 Kompaun Kepada Individu Ingkar SOP

Pejabat Kesihatan Tawau Keluarkan Lebih 400 Kompaun Kepada Individu Ingkar SOP

0
SHARE
Tiada PENJARAKAN FIZIKAL yang diamalkan orang ramai di kawasan pemunggahan ikan segar yang terletak di sebelah pasar ikan Tawau melalui tinjauan rawak semalam (Ahad). Orang ramai diingatkan untuk meningkatkan amalan penjagaan kesihatan bagi menghindari diri dan ahli keluarga dijangkiti COVID-19 dan sentiasa memastikan diri masing-masing dalam keadaan bersih, selain menggunakan topeng muka dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman...(Sumber Foto; BERNAMA)

TAWAU, SABAH – Lebih 400 kompaun dikeluarkan ke atas individu di sini kerana pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan COVID-19 sejak Mac tahun lepas hingga ke hari ini.

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata daripada kompaun yang dikeluarkan itu, 30 individu dihadapkan ke mahkamah dengan dua individu telah dijatuhkan hukuman.

“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak melakukan penjarakan fizikal selain melanggar perintah kuarantin seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988,” katanya kepada  Bernama  di sini, semalam.

Beliau mengulangi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka termasuk ketika berada dalam lingkungan kejiranan.

“Bagi saya, apa yang ketara saya lihat di Tawau ini adalah SOP tidak diikuti meskipun pejabat kesihatan  sejak tahun lalu mengeluarkan kompaun dan ada dijatuhkan hukuman, tetapi pengajaran (kompaun dan hukuman) ini seolah-olah tidak diendahkan.

“Misalnya, ketika PKP ini bila di kawasan rumah kejiranan ada yang duduk berkumpul tanpa memakai pelitup muka, main gitar, kopi-kopi, mereka lupa walaupun di kejiranan rumah masih perlu mengikut SOP,” katanya.

Menurutnya, kegagalan mengikuti arahan SOP menyebabkan penularan pantas COVID-19 dalam komuniti.

“Contoh lain lagi, di pasar ikan meskipun ramai orang dilihat memakai pelitup muka namun yang salah mereka ini berhimpit-himpit dan ada yang bersalaman, ini masalahnya,” katanya.

Dr Navindran berkata jika orang ramai mematuhi SOP, tidak mustahil kes COVID-19 di Tawau dapat diturunkan atau dilandaikan.

Kadar pematuhan penduduk Tawau terhadap SOP PKP semalam adalah  92 peratus dan jumlah kes positif yang masih aktif sebanyak 757 kes termasuk 44 kes baharu COVID-19 yang direkodkan semalam.

Sebanyak 20 kluster dikesan di Tawau dan Kalabakan dan jumlah kumulatif kes positif sehingga kini  sebanyak 6,612 kes.