Penemuan Harta Karun Kuno Berusia Lebih 3,000 Tahun Di Mesir

Penemuan Harta Karun Kuno Berusia Lebih 3,000 Tahun Di Mesir

0
SHARE
Sumber Foto:EPA/BH Online...

SAQQARA, MESIR – Penemuan harta karun kuno termasuk keranda berusia lebih 3,000 tahun di tapak arkeologi Saqqara dekat selatan Mesir disifatkan oleh ahli arkeologi negara itu, Zahi Hawass sebagai melakar sejarah.

Hawass yang mengumumkan penemuan itu semalam berkata, ia dijumpai berhampiran piramid Raja Teti iaitu firaun pertama dinasti keenam kerajaan lama Mesir.

Memetik laporan AFP, Hawass memaklumkan lebih 50 keranda kayu yang berasal dari kerajaan baru sekitar abad ke 16 hingga abad ke 11 Sebelum Masihi (SM) dijumpai di sebuah kawasan perkuburan.

“Penemuan ini merakam semula sejarah Saqqara, khususnya sejarah bagi kerajaan baharu yang bermula kira-kira 3,000 tahun yang lalu,” katanya semalam.

Hawass berkata, kumpulan arkeologinya menemui 22 keranda kuno di lokasi itu.

“Satu daripada keranda itu menempatkan seorang askar…

“Kami menemui kapak yang digunakannya untuk bertempur,” katanya.

Objek lain yang ditemui termasuk tengkorak dan tulang manusia turut dipamerkan kepada media semalam.

Tambah Hawass, setakat ini kumpulan penyelidiknya menjumpai kira-kira 30 peratus daripada bahan sejarah dan percaya bakinya masih tertanam di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir Sabtu lalu mengumumkan penemuan bahan sejarah penting di Saqqara hasil daripada kerja arkeologi yang giat dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mesir berharap penemuan terbaharu itu akan merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di negara itu, khususnya berikutan pandemik COVID-19.

Untuk rekod, bandar Saqqara adalah sebahagian daripada kota kuno Memphis, sebuah tapak Warisan Dunia dan tapak utama piramid, biara kuno dan tempat pengebumian haiwan.