PKPB Halang Persiapan Pasukan Bola Sepak Sabah Untuk Piala Malaysia

PKPB Halang Persiapan Pasukan Bola Sepak Sabah Untuk Piala Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 telah menghalang persiapan pasukan bola sepak Sabah bagi menghadapi Piala Malaysia dalam masa terdekat ini.

Ketua Jurulatih Sabah, Kuniawan Dwi Yulianto berkata pada masa ini, pasukan itu menghadapi gangguan di mana pemain tidak dibenarkan untuk berlatih manakala permohonan khas untuk meneruskan latihan telah ditolak oleh kerajaan negeri.

“Jika dilihat, ya. Kami dalam keadaan bermasalah di mana latihan tidak dibenarkan kerajaan negeri akibat prosedur operasi standard (SOP) PKPB. Pemain kami kini berlatih sendiri setiap hari…

“Pegawai pasukan akan menyediakan pemain dengan jadual latihan mereka sendiri untuk setiap hari dan pemain akan berlatih sendiri,” katanya dan menambah walaupun sedemikian, pemain menghadapi masalah untuk berlatih mengikut kemampuan sebenar mereka.

Memetik laporan Bernama, jurulatih Indonesia itu menjelaskan aktiviti seperti berjoging dan berlari di kawasan terbuka adalah penting untuk pemain dan dalam keadaan adanya sekatan, pemain kini terpaksa berlari di kawasan tempat letak kereta bersendirian dengan kekurangan peralatan latihan.

Sementara itu Kurniawan berkata, pihak pengurusan pasukan akan membuat permohonan semula kepada kerajaan negeri bagi sesi latihan khas, sebagai persediaan perlawanan liga super terakhir mereka menentang UiTM FC pada 31 Oktober dan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6 November.

“Jika ini (permohonan khas) ini tidak diluluskan, kami akan terus berlatih secara individu sehingga kami pergi ke Semenanjung pada 29 Oktober untuk perlawanan kami. Kami akan memaksimumkan latihan kami di sana…

“Pada masa ini kami sedang mencari stadium yang boleh kami gunakan untuk latihan di Semenanjung sebaik tiba di sana,” katanya sambil menjelaskan tidak ada cara untuk mereka keluar dari Sabah sebelum 29 Oktober kerana ujian COVID-19 akan memerlukan mereka dikuarantin lima hari sebelum berlepas.

Bercakap mengenai persiapan skuad Tambadau untuk Piala Malaysia, Kurniawan berkata pemainnya masih tidak berputus asa dalam peluang mereka memenangi piala tersebut.

“Walaupun menghadapi masa sukar untuk piala itu, pemain telah memberikan keyakinan mereka untuk terus berlatih dan lakukan yang terbaik untuk Sabah.

“Saya percaya pemain akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan yang akan datang dan Piala Malaysia. Saya berharap mereka akan dapat keputusan yang baik pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Sabah pada ketika ini menduduki tempat ke-10 dalam Liga Super dengan sembilan mata dari 10 perlawanan. UiTM pula pada kedudukan kesembilan dengan 14 mata.