Polis Sahkan Penemuan Mayat Wanita Di Bandaran Berjaya Sebagai Kes Bunuh

Polis Sahkan Penemuan Mayat Wanita Di Bandaran Berjaya Sebagai Kes Bunuh

0
SHARE
Penemuan mayat wanita di kawasan Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu pada Rabu lalu...(Sumber Foto; Ihsan Polis Kota Kinabalu, Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemukan di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya, di sini pada Selasa lalu  diklasifikasikan sebagai KES BUNUH.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asistem Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini, mangsa wanita itu dikenali dengan nama Kelly dan dipercayai berusia lingkungan 30-an.

Katanya, wanita terbabit juga dipercayai warganegara asing namun siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti identiti sebenar mangsa.

Pada masa yang sama, seorang lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai 13 kes membabitkan pelbagai kes jenayah sejak lapan tahun lalu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut kerana sering dilihat bersama mangsa sebelum ini.

“Hasil siasatan, wanita terbabit sering dilihat berkeliaran bersama suspek sambil menghidu gam. Bagaimanapun ada saksi yang mendakwa terdengar mangsa bertengkar dengan seseorang sebelum ditemui mati selepas itu…

“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan pada jam 7.30 malam Jumaat lalu di Jalan Maktab Gaya, di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, soal siasat awal suspek mengaku mengenali mangsa sejak enam bulan lalu dan ada menumbuk mangsa beberapa kali semasa bertengkar di atas bukit tempat tinggal mangsa.

Katanya lagi, motif kejadian dipercayai disebabkan suspek cemburu terhadap mangsa selepas dilihat berjalan dengan lelaki lain sebelum kejadian berlaku.

Berhubung punca kematian mangsa pula adalah kecederaan pada kepala dan muka disebabkan senjata tumpul dan pukulan yang kuat.

Menurut pemeriksaan awal juga mengesahkan tiada tanda suntikan BCG pada mayat mangsa selain terdapat kesan lebam di kedua belah mata, mulut, dagu dan kedua-dua lengan.