14 Individu Dipanggil Untuk Hadir Ke Mahkamah Kerana Merokok Ditempat Awam

14 Individu Dipanggil Untuk Hadir Ke Mahkamah Kerana Merokok Ditempat Awam

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TAWAU, SABAH – Jabatan Kesihatan Tawau mengeluarkan notis kepada 14 individu supaya hadir ke mahkamah kerana merokok di tempat awam dalam operasi di Kompleks Sukan Tawau.

Menurut laporan Harian Metro, Pegawai Kesihatan Tawau, Rahman Sampe dipetik berkata pihaknya menjalankan operasi bermula kira-kira 3 petang semalam.

“Ketika operasi dijalankan, beberapa individu yang didapati bersalah memberi alasan bahawa tidak ada papan tanda larangan merokok di kawasan itu.

“Ada juga yang enggan bekerjasama sehinggakan kami terpaksa menggunakan khidmat polis bantuan untuk selesaikan masalah dengan baik,” katanya.

Rahman berkata, semua yang diberi notis hadir ke mahkamah boleh menukar notis itu kepada kompaun jika mereka hadir ke pejabat Jabatan Kesihatan untuk membayar denda pada tempoh yang diberikan di dalam notis.

“Bagi mengelak tindakan mahkamah, semua individu diberi notis perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Tawau untuk membayar kompaun RM250 mengikut tempoh yang diberikan dalam notis berkenaan.

“Untuk makluman semua, seluruh kawasan kompleks sukan adalah kawasan larangan merokok mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.

Rahman berkata, masih ramai individu kurang mematuhi kawasan larangan merokok yang boleh menjejaskan kesihatan kepada pihak ketiga iaitu individu yang tidak merokok, kanak-kanak dan wanita hamil.