KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensinya berjaya melaksanakan sebanyak 206 program yang memberi manfaat kepada hampir 400,000 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana dan koperasi dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, program-program itu turut melibatkan usahawan perusahaan sosial, usahawan informal, penjaja dan peniaga kecil serta kumpulan khusus melibatkan golongan belia, graduan, wanita, Orang Kelainan Upaya (OKU), B40 dan asnaf.
“Ini adalah antara kejayaan KUSKOP tahun ini dalam usaha membangunkan usahawan dan koperasi dari aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan, pendedahan dan pembudayaan serta peningkatan akses pembiayaan.
“Program-program itu juga terkait dengan perluasan akses pasaran dan pengukuhan perniagaan melalui adaptasi teknologi serta penyediaan kemudahan infrastruktur perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga KUSKOP, di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, semalam.
Dari segi prestasi PMKS, Ewon berkata, ia merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus atau sumbangan sebanyak RM613.1 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023.
“Pertumbuhan PMKS juga menunjukkan perkembangan positif di mana terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus pada tahun 2023.
“Manakala, bilangan perusahaan bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8 peratus dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana turut meningkat sebanyak 7.9 peratus.
“Pencapaian ini adalah satu petunjuk bahawa PMKS Malaysia telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau pasti warga kementerian dan agensi-agensi telah bersedia untuk melaksanakan segala perancangan tahun ini bagi memastikan amanah dan tanggungjawab kepada usahawan dan koperasi dapat dijayakan sebaiknya.
“Saya berharap komitmen dan dedikasi warga KUSKOP dan agensi dapat diteruskan dan dipertingkatkan supaya para usahawan dan koperasi terus mendapat manfaat daripadanya,“ katanya.