
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 36 Pengerusi Badan Dakwah peringkat daerah menerima Watikah Pelantikan.
Watikah berkenaan disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama.
Menurut beliau, Pengerusi Badan Dakwah itu terdiri daripada Majlis Tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap daerah.
“Watikah pelantikan ini diberikan kepada Mayor, Timbalan-timbalan Presiden, Pegawai-pegawai Daerah dan Penolong-penolong Pegawai Daerah bertujuan memantau dan mengatur program-program pembangunan keagamaan di daerah masing-masing.
“Mereka juga berperanan menyelaras segala acara-acara dakwah seterusnya membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menyelaras kegiatan keagamaan di setiap daerah.
“Selain menerima watikah, badan dakwah setiap daerah turut menerima sumbangan RM7,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi pelaksanaan program-program berkala seperti bantuan zakat, sumbangan kegiatan keagamaan serta kebajikan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, pada Jumaat.
Hadir sama, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan timbalannya, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH





