38,778 Calon Duduki SPM di Sabah

38,778 Calon Duduki SPM di Sabah

0
SHARE
Zaini
Zaini ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 38,778 calon di Sabah mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bermula semalam sehingga 7 Mac 2024.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Mohd Zaini Yanin berkata daripada jumlah itu seramai 35,105 merupakan calon sekolah manakala selebihnya adalah calon di bawah agensi seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah swasta dan calon persendirian.

“Sebanyak 315 pusat peperiksaan terlibat dengan seramai 2,448 petugas dilantik seluruh Sabah bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

“Semua calon diingatkan untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tentang tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta jadual yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas meninjau hari pertama ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, pada Selasa.

Tambah beliau lagi, JPN turut mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana dan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini untuk memastikan setiap calon dapat hadir ke pusat-pusat peperiksaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan mahupun bencana seperti banjir.

“Oleh itu, calon-calon yang tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang telah ditetapkan disebabkan oleh bencana atau kecemasan untuk memaklumkan dengan kadar segera kepada pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ