SANDAKAN, SABAH – Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) memulakan perjalanan Kempen JOM MSPO dan sesi libat urus bersama pemegang taruh di Sandakan, Sabah semalam.
Kempen ini telah dilancarkan oleh Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi dalam menggalakkan kemampanan dan amalan bertanggungjawab pengurusan industri minyak sawit dan halal.
Kempen JOM MSPO ini diadakan sebagai sebuah platform dalam memupuk kesedaran dan menyampaikan informasi dan pencapaian terkini Pensijilan MSPO ke seluruh negara.
Kempen ini juga mengutamakan perjumpaan secara langsung antara agensi-agensi berkaitan sawit dari setiap negeri bagi menjawab sebarang pertanyaan selain berkongsi pendapat dan pandangan daripada pemain industri yang berbeza dari setiap negeri.
“Menjadi harapan saya agar program JOM MSPO di Sandakan ini akan menjadi pemangkin kepada para penggiat industri sawit khususnya di negeri Sabah ini untuk terus mempertingkatkan amalan mampan yang akan dicerminkan melalui pensijilan MSPO.
“Dalam hal ini, Kerajaan akan sentiasa bekerjasama dalam memberikan segala bantuan agar kita bersama-sama dapat mempertingkatkan lagi imej industri sawit negara ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di persada antarabangsa,” ujar Chan.
Untuk negeri Sabah, setakat 31 Mac lepas, sejumlah 1.26 juta hektar atau 89.88 peratus daripadah jumlah kawasan tanaman sawit dan 88.64 peratus atau 117 unit kilang kelapa sawit di Sabah telah dipersijilkan MSPO.
Daripada jumlah ini, sejumlah 116,226 hektar adalah kawasan tanaman sawit daripada 18,863 pekebun kecil.
Kempen JOM MSPO Sabah ini telah menerima penyertaan seramai 80 orang pemain industri termasuk pekebun kecil, pengusaha ladang, persatuan dan agensi berkaitan sawit negeri Sabah.