950 juta liter air sehari: Ulu Padas jadi tumpuan bekalan Pantai Barat

950 juta liter air sehari: Ulu Padas jadi tumpuan bekalan Pantai Barat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) dirancang menyediakan sehingga 950 juta liter air bersih sehari dan menjadi antara komponen penting untuk menjamin sumber bekalan air, khususnya di Pantai Barat Sabah.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata skim itu merupakan sebahagian daripada Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas (UPHEP) dan akan dibangunkan secara berperingkat.

Menurutnya, Fasa 1 dirancang menyediakan 350 juta liter air sehari, diikuti 450 juta liter sehari bagi Fasa 2 dan 150 juta liter sehari bagi Fasa 3.

“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadi antara komponen penting dalam usaha memastikan sumber bekalan air yang lebih terjamin, khususnya untuk kawasan Pantai Barat Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dari sudut tenaga, Azrul berkata UPHEP mempunyai kapasiti hidroelektrik 187.5 megawatt (MW), ditambah komponen solar terapung berkapasiti 150 MWac. Keseluruhannya, projek itu dijangka menghasilkan sekitar 1,352 gigawatt-jam (GWh) tenaga bersih setahun.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan pengurusan tertinggi Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), diketuai Pengarah UPPSB, Lim Chin Hong, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Elias Johari.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UPPSB, Michael Chin; Ketua Komunikasi dan Pengurusan Pemegang Taruh, Shahrir Jublee; serta Nur Aqilah Safar. Mereka juga membincangkan aspek alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat dalam pelaksanaan projek.

“Air dan tenaga adalah keperluan asas yang sangat penting untuk pembangunan Sabah. Apa yang kita bina hari ini bukan sekadar untuk keperluan semasa, tetapi untuk memastikan generasi akan datang mempunyai bekalan air dan tenaga yang lebih terjamin,” kata Azrul.

Beliau berharap projek Ulu Padas terus berjalan lancar dan memberikan manfaat besar kepada rakyat serta pembangunan Sabah.