Jafry Minta Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Tongod Diwujudkan

Jafry Minta Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Tongod Diwujudkan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin meminta agar satu Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Tongod diwujudkan bagi mendokong usaha pembangunan pelancongan luar bandar terutama pelancongan berasaskan komuniti.

Jelasnya, jawatankuasa itu juga akan membantu kementerian dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan termasuk naiktaraf infrastruktur asas pelancongan agar lebih berdaya saing.

Selain itu, ia bakal memberi kemudahan terutama kepada pelancong tempatan dan asing untuk mendapatkan maklumat mengenai keistimewaan setiap kawasan pelancongan yang ada.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Taklimat Pembangunan Daerah bersama Pegawai Daerah Tongod, Mohd Fauzi Norbeh dan Agensi-Agensi Kerajaan Negeri di daerah Tongod yang dihadiri bersama Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan penduduk kampung untuk membangunkan produk pelancongan yang berpotensi di kawasan masing-masing.

“Sehingga kini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah KEPKAS telah meluluskan sekurang kurangnya 12 projek di daerah Tongod untuk projek-projek kecil dibawah RM20,000…

“Antara yang diluluskan adalah termasuk, pemilik Rumah Besar Cina yang menerima peruntukan kira-kira RM20,000 bagi menaiktaraf Rumah yang dijadikan tempat untuk pameran sejarah dan warisan peninggalan budaya masyarakat Cina,” katanya.

Majlis Daerah Tongod juga telah menerima kira kira RM40,000 bagi menaiktaraf tugu Heart of Borneo iaitu mercu tanda bagi daerah itu.

“KEPKAS sentiasa bersedia memberikan bantuan untuk membangunkan industri pelancongan di Tongod, selain membantu memasarkan produk yang berpotensi di seluruh negara,” ujar Jafry.