Kaki Anak Gajah Terpaksa Dipotong Akibat Jerat

Kaki Anak Gajah Terpaksa Dipotong Akibat Jerat

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kaki kanan seekor gajah berumur kurang dari 2 tahun di kawasan Tungku, di Lahad Datu, terpaksa dipotong bagi menyelamatkannya akibat jerat tali.

Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata Pasukan Penyelmat Hidupan Liar berjaya menjejaki anak gajah tersebut pada Sabtu (18 Jun) di FELDA Sahabat 5.

“Pemeriksaan susulan terhadap kecederaannya pada Isnin mendapati kakinya hampir putus akibat kesan jerat terlalu ketat.

“Untuk mengelakkan tisu kaki menjadi lebih parah dan tidak berfungsi, bahagian pergelangan kakinya terpaksa dipotong oleh pegawai veteriner yang membuat rawatan…

“Saya amat merasa sedih kerana perbuatan tidak bertanggung oleh pihak tertentu memasang jerat telah menyebabkan kecederaan yang parah kepada anak gajah tersebut.

“Perbuatan memasang jerat ini merupakan satu tindakan yang amat kejam dan menyalahi undang-undang Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, keadaan ini menyebabkan bukan sahaja gajah terbabit hilang peluang untuk hidup bebas dengan kawanannya malah ia terpaksa hidup dalam keadaan cacat seumur hidup.

Pada umur kurang 2 tahun, anak gajah masih memerlukan ibunya untuk menyusu dan berinteraksi sosial dengan kawanannya.

Memburu haiwan menggunakan jerat merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 33 (1)(k)(iii), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20,000 tetapi tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memasang jerat untuk apa-apa tujuan sekalipun kerana perbuatan tersebut adalah menyalahi undang-undang…

“Saya juga menyeru kepada semua pengurusan ladang agar mempastikan pekerja mereka tidak memasang jerat di hutan kerana ini mungkin boleh mengaitkan ladang mereka dengan perbuatan kejam ini.

“Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000.00 bagi mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat sehingga membawa kepada penangkapan individu yang melakukan pemasangan jerat ini dan seterusnya dibawa ke muka pengadilan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini dipohon untuk menghubungi 016-810 9901. Maklumat pemberi maklumat adalah dirasiakan dan orang ramai tidak perlu risau mengenai kebocoran identiti mereka,” tambahnya.