KOTA KINABALU, SABAH – Pertama sekali saya tidak bercadang mendedahkan nama saya kerana khuatir akan dikenakan tindakan digantung keahlian sebagai ahli UMNO.
Saya mengaku adalah ahli UMNO berdaftar sejak tahun 1993 dan berasal dari Sabah.
Ketika ini ahli-ahli UMNO sudah tidak selamat sekiranya membuat kritikan secara terbuka terhadap kepimpinan tertinggi parti, sebaliknya Zahid dan Najib pula bebas melakukan apa sahaja di dalam Parti UMNO.

Adalah amat pelik apabila pengadu kepada salah laku Presiden Parti UMNO digantung keahlian yang mana merujuk kepada Tun Faisal Ismail dan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’, sebaliknya Zahid walaupun secara jelas dengan bukti kukuh telah membantu Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap dibebaskan.

Tujuan utama saya menulis surat ini adalah bagi menegur Dato’ Seri selepas membuat kenyataan BERSATU di Sabah tidak kukuh sebaliknya hanya menggunakan nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meraih populariti.
Sebagai ahli UMNO di Sabah, saya amat kesal dengan kenyataan ini di mana ianya secara jelas adalah cubaan untuk membatu-apikan Kerajaan GRS dan Barisan Nasional (BN) yang sedang mentadbir Sabah ketika ini.
Adakah Dato’ Seri mempunyai agenda tersembunyi dan berkeinginan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Sabah sekali lagi walaupun pilihan raya negeri ke-16 baru sahaja berakhir pada tahun 2020?

Sedarkah Dato’ Seri bahawa Parti BERSATU di Sabah sebelum ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan adalah rakan karib kepada Barisan Nasional (BN) untuk menentang Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Menoleh kebelakang, Barisan Nasional bertanding di 40 kerusi manakala 31 ditandingi UMNO.
Jumlah kerusi yang dimenangi UMNO hanya 14 sahaja.

Ironinya calon UMNO dan bekas MP tenom bertanding di Kemabong pun kalah dengan calon Bebas.
Dato’ Seri harus sedar sentimen pengundi di Sabah 100 peratus (100%) berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
Sepatutnya Dato’ Seri datang ke Sabah tampil membantu rakyatnya yang tersepit dengan kenaikan harga barang mentah makanan basah dan kering yang semakin melambung naik.
Majoriti rakyat Sabah ketika ini masih mempunyai pendapatan yang rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.
Masalah utama rakyat di Sabah ketika ini terpaksa berhadapan kekurangan minyak masak sawit paket manakala harga minyak botol pula naik mencecah sehingga 80 hingg 100 peratus.

Harga baja turut naik sehingga menyebabkan sayur-sayuran di Sabah turut naik.
Bukan sahaja sayur, malah hampir kesemua harga barangan makanan mentah termasuk ayam dan makanan kering lainnya juga naik secara mendadak.
Selain harga barangan makanan, harga bahan-bahan binaan juga turut naik secara mendadak.
Seluruh rakyat Sabah ketika ini amat terkesan dengan situasi ini, sebaliknya Dato Seri datang ke Sabah berterusan bermain politik.
Saya ingin ingatkan kepada Dato’ Seri, rakyat Sabah ketika ini perlu makan serta mencari peluang pekerjaan.
Bukannya berpolitik dan terus berpolitik.
Sedarkah Dato’ Seri Perdana Menteri Malaysia ketika ini adalah datangnya dari Parti UMNO, Barisan Nasional (BN).
Semasa era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun negara bergelut dengan PKP kesemua barangan makanan masih dalam keadaan terkawal.

Sekiranya Dato’ Seri tidak mahu membantu menyelesaikan isu barangan makanan yang semakin naik harga, sekurang-kurangnya Dato’ Seri boleh membawa bersama Dato’ Sri Bung Moktar meninjau keadaan jalan raya di Sabah yang masih dalam keadaan sangat daif.
Perjalanan laluan kenderaan dari Kota Kinabalu sehingga ke Tawau.



Sumber bekalan air yang terlalu terputus dan bekalan elektrik yang tidak mencukupi,.malahan rakyat Sabah ketika ini amat tidak berpuas hati dengan cara bekerja Bung selepas melancarkan slogan Bung Speed.
Dato’ Seri dilihat lebih seronok berpolitik daripada membantu rakyat Sabah. Saya menasihati agar Dato’ Seri jangan cuba mengajar orang-orang Sabah berpolitik.
Lebih baik Dato’ Seri fokus menyelesaikan kes mahkamah yang sedang berjalan di mahkamah daripada menganggu kerajaan GRS-BN di Sabah.

“Orang Sabah sebenarnya amat matang dalam berpolitik. Apa yang berlaku di semenanjung tolong jangan bawa masuk ke Sabah.”
Seperkara lagi saya juga berharap agar Dato’ Seri tidak lagi menggunakan perkataan ‘Bossku’.
Perkataan ‘Bossku’ sebenarnya adalah bahasa pasar asal anak-anak Sabah.
Cukuplah Labuan diserahkan kepada Persekutuan, tanah di Sabah menjadi ladang terbesar bagi Felda, hasil gas dan petroleum dijarah jangan lagi perkataan Bossku pula dijadikan ‘trademark’ untuk Dato’ Seri.

Rakyat Sabah juga mempunyai tahap kesabaran, namun apabila sampai satu tahap khuatir akan memberi kesan lebih teruk kepada UMNO dan BN di Sabah.
Akhir kalam dengan rasa hati yang marah tolong jangan bawa budaya politik Semenanjung ke Sabah.
Sekian,
Ahli UMNO Sabah.
(Tulisan ini telah dikirim oleh penulis ke portal berita sabahnews.com.my dan artikel ini tidak mencerminkan langsung pandangan pihak Sabah News…)





