
KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian seperti yang dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia bagi memastikan rakyat dapat terus hidup selesa dan makmur dalam usaha untuk terus membangunkan negeri ini.
“Kepelbagaian suku kaum, etnik, agama dan budaya di negeri ini adalah lambang keharmonian dan keunikan yang amat bernilai.
“Ia bukan sahaja menjadikan negeri ini unik dalam aspek keharmonian dan perpaduan, tetapi ia adalah khazanah yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.
“Saya berharap suasana ini sentiasa kita jaga dan pertahankan dengan cara menjaga perpaduan dan saling hormat menghormati demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Sabah,” katanya pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin Yang di- Pertua Negeri Sabah, pada Sabtu.
Hajiji juga mahu kerjasama semua barisan kepimpinan negeri agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan setia, berdedikasi dan berintegriti.
“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat hendaklah digalas dengan sepenuh hati agar agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu kita capai bersama dengan penuh kecemerlangan.
“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri juga akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat terutamanya golongan belia seperti latihan dan kursus bagi mempelajari dan meneroka kemahiran baharu sehingga mampu menjana pendapatan bagi membantu ekonomi keluarga,” jelas beliau.
Pada majlis tersebut Hajiji dan isteri, Datin Seri Juliah Salag mengiringi Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni memotong kek ulang tahun kelahiran.
Turut mengiringi, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dan isteri Datin Noraini Salleh serta Timbalan-timbalan Ketua Menteri.
Terdahulu, Hajiji mengetuai Upacara Minum Hormat yang disertai 480 orang tetamu di dalam Dewan Bankuasi DUN Sabah termasuk jemaah menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH





