Perkasa Usaha Bangunkan Umat Islam – Ruslan

Perkasa Usaha Bangunkan Umat Islam – Ruslan

0
SHARE
Ruslan
Ruslan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Jabatan Penerangan Sabah, Mohd Said Kalihing (tiga dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Pemimpin pelapis Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) disaran agar terus memperkasakan usaha membangunkan umat Islam di negeri ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ruslan Muharam berkata ke arah mencapai matlamat tersebut, USIA perlu menggerak dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli di peringkat bahagian dan daerah bagi memastikan organisasi yang berusia lebih lima dekad itu terus memainkan peranannya dengan berkesan.

“Dengan kepimpinan baharu ini, kita melihat beberapa pembaharuan dalam pengurusan USIA dan perkembangan ini sangat positif untuk memastikan peranannya dapat diperkasakan lagi.

“Selain itu, USIA kini mengambil langkah untuk mengendali dan menguruskan aset-aset bernilai dengan baik, saya yakin USIA akan mampu menjana ekonomi untuk membantu golongan umat Islam.

“Oleh itu, kita berharap para pelapis kepimpinan dalam USIA hari ini akan cuba sedaya mungkin untuk membawa USIA ke ambang yang lebih maju dalam menyantuni para asnaf dan pembangunan umat Islam secara keseluruhannya, selaras dengan semangat yang dicetuskan oleh Tun Mustapha Mustapha Datu Harun iaitu pengasas kepada USIA.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada USIA yang telah banyak membantu kerajaan negeri untuk menyebarluas konsep Malaysia Madani di seluruh Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kembara Maulidur Rasul Sentuhan Kasih Usia dan Jelajah Tahsin Ibadah di MRSM Tan Sri Musa Aman.

Program jelajah yang bermula dari Sipitang ke Papar itu merupakan anjuran bersama dengan beberapa jabatan serta agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan (JaPen), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Penyiaran (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). — JABATAN PENERANGAN SABAH