Dua Wanita Maut Dalam Kebakaran Rumah di Kg Pulau Penampang Awal Pagi...

Dua Wanita Maut Dalam Kebakaran Rumah di Kg Pulau Penampang Awal Pagi Tadi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua wanita termasuk seorang warga emas dan seorang remaja perempuan dilaporkan maut dalam satu insiden kebakaran rumah yang berlaku awal pagi tadi di Lorong Gusin 3, Kampung Pulau Penampang, bersebelahan One Borneo, di sini awal pagi hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 5.39 pagi.

Menurut laporan Komander Operasi, Nickton Berry G Mickey, kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal berkeluasan 40×40 kaki yang terbakar hampir 90 peratus. Sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang berada berhampiran turut mengalami kerosakan sebanyak lima peratus akibat bahangan api.

Operasi pemadaman melibatkan penggunaan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan enam pancutan, menggunakan sumber air dari jentera dan tangki air bantuan. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.55 pagi.

Namun, dua mangsa ditemukan maut dalam kejadian tersebut. Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun ditemui tidak bernyawa pada jam 7.13 pagi, manakala seorang lagi mangsa, remaja perempuan berusia 14 tahun, ditemui pada jam 7.33 pagi. Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi turut melibatkan kekuatan seramai 31 anggota bomba daripada BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang, serta dibantu oleh agensi lain termasuk PDRM (3 anggota), Kementerian Kesihatan Malaysia (4 anggota), dan Sabah Electricity Sdn Bhd (3 anggota).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian. Punca kebakaran masih dalam siasatan oleh Unit Forensik JBPM Negeri.