Salleh Cadang Pertandingan Mesra Untuk Kerusi Bertindih

Salleh Cadang Pertandingan Mesra Untuk Kerusi Bertindih

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata penyelesaian melalui persetujuan bersama bagi sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi DUN Sabah dapat mewujudkan asas politik yang kukuh dan stabil.

Bagi kerusi bertindih, beliau mencadangkan pertandingan mesra sebagai alternatif lebih baik berbanding konflik dalaman atau sokongan rahsia kepada calon bebas. Namun, katanya, ia mesti dipersetujui secara terbuka dan penuh hormat.

“Dalam politik Sabah yang pelbagai, adalah biasa lebih satu parti berminat dengan kerusi sama. Yang penting ialah pengurusan yang matang, bukan emosi,” katanya di Facebook.

Salleh, yang juga ADUN Usukan, menjelaskan pertandingan mesra membolehkan dua calon dari gabungan bertanding, tetapi kerusi tetap kekal dalam gabungan tanpa mengundang permusuhan.

Menurutnya, dakwaan bahawa undi akan berpecah hanya berlaku jika tiada koordinasi dan mesej tidak jelas. Sebaliknya, jika berkempen secara bertanggungjawab dan bersatu, pengundi akan faham maksud kerjasama.

Beliau menekankan bahawa pertandingan mesra yang tersusun lebih baik daripada perbalahan tersembunyi dan menunjukkan kejujuran serta perpaduan.

Salleh mencadangkan agar gabungan politik bersetuju dengan prinsip asas dan membentuk jawatankuasa khas bagi menentukan kerusi yang layak, cara komunikasi, dan disiplin akar umbi.

“Inisiatif ini bukan penyelesaian utama, tetapi pendekatan praktikal untuk menjaga kesatuan. Kepimpinan ialah menyelesaikan masalah, bukan mengelaknya,” tambahnya.