Bayi Perempuan 20 Hari Ditemui Tertanam Hidup-Hidup di India, Bertarung Nyawa di...

Bayi Perempuan 20 Hari Ditemui Tertanam Hidup-Hidup di India, Bertarung Nyawa di Hospital

0
SHARE

SHAHJAHANPUR, INDIA: Seorang bayi perempuan berusia 20 hari yang ditemui tertanam hidup-hidup di negeri Uttar Pradesh kini bertarung nyawa.

Kejadian berlaku apabila seorang penggembala kambing terdengar tangisan halus dari bawah timbunan tanah.

Setelah diperiksa, dia ternampak tangan kecil bayi itu terkeluar dari lumpur. Orang kampung segera dimaklumkan sebelum polis dipanggil untuk menggali dan menyelamatkan bayi berkenaan.

Identiti ibu bapa bayi masih belum dikenal pasti, namun, kes seumpama ini sering dikaitkan dengan diskriminasi jantina di India, di mana bayi perempuan dianggap beban berbanding anak lelaki.

Pengetua Kolej Perubatan Kerajaan Shahjahanpur, Dr Rajesh Kumar berkata, bayi tersebut dibawa ke hospital pada Isnin dalam keadaan kritikal, dipenuhi tanah di mulut dan hidung serta kesan gigitan serangga dan haiwan.

“Bayi itu menunjukkan tanda kekurangan oksigen. Selepas 24 jam, ada sedikit tanda positif, namun keadaannya kembali merosot apabila dijangkiti kuman,” katanya.

Beliau percaya bayi itu baru sahaja ditanam kerana kecederaannya masih segar. Pasukan doktor termasuk pakar bedah plastik kini merawat dan cuba mengawal jangkitan tersebut.

“Prognosisnya sangat serius, tetapi kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkannya,” jelas Dr Kumar.

Kes ini mengingatkan kepada kejadian pada 2019, apabila seorang bayi pramatang ditemui tertanam dalam tempayan tanah liat di India tetapi akhirnya pulih selepas dirawat di hospital.

India antara negara dengan nisbah jantina paling buruk di dunia.

Diskriminasi terhadap wanita dan anak perempuan masih berakar umbi, dengan berjuta bayi perempuan menjadi mangsa pengguguran atau dibunuh selepas dilahirkan akibat kepercayaan tradisional yang lebih mengutamakan anak lelaki.