KOTA KINABALU: Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menyelesaikan satu kes curi kenderaan yang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan laporan Menggatal/2898/2022.
Dalam kenyataan hari ini, pihak polis memaklumkan bahawa sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna hitam dengan nombor pendaftaran SJW 360 telah dirampas sepanjang siasatan dijalankan.
“Kenderaan tersebut didaftarkan atas nama DG. Nurizzati Binti Sapili yang beralamat terakhir di ABID 7-4-4, Perumahan Kastam, 88450 Kota Kinabalu.
“Sehubungan itu, pemilik kenderaan berkenaan dimohon untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Kinabalu bagi tujuan menuntut semula kenderaan tersebut,” jelas kenyataan itu di Facebook.
Polis memaklumkan, pemilik perlu membawa dokumen pengenalan diri serta dokumen pemilikan kenderaan yang sah semasa membuat tuntutan.
“Tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pemakluman ini. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambah kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut turut diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.






