TAMPARULI: Sambutan Kaamatan, Hari Guru, Hari Ibu dan Hari Bapa 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Guakon Baru, Tamparuli baru-baru ini menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Ghazali Hajiji berkata, platform itu turut menghargai jasa dan pengorbanan golongan pendidik serta ibu bapa dalam membentuk generasi masa depan.
Beliau berkata, penganjuran program yang menggabungkan empat sambutan penting itu mencerminkan semangat kebersamaan, penghargaan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan sesebuah komuniti.
“Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi, tetapi lambang kesyukuran dan perpaduan. Pada masa sama, kita turut menghargai jasa guru serta pengorbanan ibu dan bapa yang menjadi tunjang kepada pembangunan generasi masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Ghazali, kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan komuniti amat penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta mempunyai daya saing tinggi.
Katanya, guru memainkan peranan besar sebagai pendidik dan pembimbing, manakala ibu bapa pula merupakan individu terawal yang membentuk sahsiah dan nilai murni dalam diri anak-anak.
“Apabila institusi keluarga, sekolah dan masyarakat bergerak seiring, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki jati diri yang kukuh,” ujarnya.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan aktiviti komuniti yang berjaya mengeratkan hubungan antara warga sekolah, ibu bapa serta penduduk setempat.
Pada akhir majlis, Ghazali turut mengucapkan “Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan” selain menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru, Hari Ibu dan Hari Bapa kepada semua yang diraikan.
Beliau berharap semangat perpaduan, penghargaan dan kasih sayang yang diterapkan menerusi sambutan berkenaan akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat.






