Rakyat Tempatan Perlu Jadi Penerima Manfaat Utama Industri Pelancongan Sabah – Jafry

Rakyat Tempatan Perlu Jadi Penerima Manfaat Utama Industri Pelancongan Sabah – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan bahawa rakyat tempatan perlu terus menjadi penerima manfaat utama daripada pertumbuhan industri pelancongan di Sabah, termasuk melalui peluang pemilikan perniagaan, keusahawanan, pekerjaan dan penyertaan aktif dalam keseluruhan rantaian nilai sektor berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pertumbuhan industri pelancongan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui sejauh mana manfaat ekonomi yang dijana dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan, khususnya di Semporna, dapat dinikmati secara lebih meluas oleh masyarakat tempatan.

“Kerajaan Negeri Sabah sememangnya konsisten dalam memastikan rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di negeri ini.

Prinsip ini turut terpakai dalam sektor pelancongan, di mana penglibatan, pemilikan dan penyertaan aktif rakyat Sabah dalam perniagaan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan perlu terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut Jafry, Semporna terus menjadi antara pemacu utama industri pelancongan Sabah dengan merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong sepanjang tahun 2025.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, daerah itu menerima seramai 157,673 pelancong, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau ini.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut disokong oleh pelbagai pihak termasuk pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi kerajaan yang bersama-sama membangunkan industri pelancongan negeri.

Pada masa sama, Jafry menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) sentiasa mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang kerana ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing industri pelancongan Sabah.

Bagaimanapun, katanya pembangunan sektor itu perlu berlaku secara seimbang dan inklusif agar manfaat ekonomi yang terhasil dapat diagihkan secara adil kepada masyarakat tempatan.

“Kementerian percaya bahawa rakyat tempatan perlu diberikan peluang yang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan, sama ada sebagai usahawan, pemilik perniagaan, penyedia perkhidmatan, pekerja mahir mahupun rakan strategik dalam pembangunan destinasi pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, KePKAS mengambil serius isu penglibatan dan pemilikan dalam sektor-sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran dan pelbagai perkhidmatan sokongan lain.

Menurut beliau, di Semporna khususnya, usaha pemantauan dan penguatkuasaan sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti pelancongan beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan.

Katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada dan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

“Sabah kekal terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Namun pada masa yang sama, kita mahu memastikan bahawa manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya.

Beliau berkata, KePKAS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri tanpa mengabaikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat tempatan.