Satu gempa bumi bermagnitud 6.1 telah menggegarkan kawasan luar pantai barat laut Cuba pagi tadi, hanya beberapa hari selepas gempa kuat melanda Mindanao, Filipina semalam.
Menurut US Geological Survey (USGS), gegaran berlaku pada kedalaman cetek kira-kira 26km dengan pusat gempa terletak 104km barat laut Mantua, Cuba.
Gegaran turut dirasai di beberapa bahagian Mexico dan Florida, AS, namun tiada laporan kerosakan besar atau mangsa dilaporkan setakat ini.
Kejadian ini berlaku selepas gempa bumi kuat di Mindanao yang sebelum ini mencetuskan amaran tsunami dan menyebabkan kemusnahan serta korban jiwa.
Ianya sekali gus menambah kebimbangan terhadap aktiviti seismik di rantau berbeza dalam tempoh singkat.
Di Sabah pihak berkuasa kekal memantau keadaan sebagai langkah berjaga-jaga, selain menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap makluman rasmi sekiranya berlaku sebarang perubahan risiko di rantau seismik sekeliling.






