KOTA KINABALU: Lebih 430 kilogram sampah berjaya dikutip di pesisir Pantai Tanjung Aru menerusi Program Beach Clean-Up Institut Marin Borneo (IMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan bersempena Ocean Celebration 2026 hasil kerjasama strategik antara IMB UMS dan Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED) dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem marin.
Seramai 86 peserta terlibat dalam program itu yang terdiri daripada 59 sukarelawan serta 27 ahli jawatankuasa pelaksana daripada IMB dan TAED.
Operasi pembersihan yang dijalankan selama beberapa jam di kawasan pesisir pantai berkenaan berjaya dikumpulkan untuk tujuan pelupusan dan pengurusan sisa secara lebih sistematik.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) IMB, Profesor Madya Dr. Mohammad Tamrin Mohamad Lal.
Menurut Kasim, lautan merupakan khazanah alam yang amat bernilai dan perlu dipelihara secara berterusan sebagai amanah bersama demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Laut bukan sahaja sumber biodiversiti yang penting, malah menjadi asas kepada keselamatan makanan, ekonomi dan kelangsungan kehidupan manusia,” katanya.
Beliau berkata usaha memelihara kelestarian ekosistem marin memerlukan komitmen berterusan serta penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Tadbir Urus dan Pematuhan Perundangan TAED, Datuk Edmund Duodilim yang mewakili Pengurus Besar TAED berkata program berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan pesisir pantai.
Menurut beliau, pantai yang bersih tidak akan terhasil tanpa kesedaran dan tindakan kolektif masyarakat dalam memelihara alam sekitar.
“Kesedaran dan tanggungjawab bersama amat penting bagi memastikan khazanah alam ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara TAED dan UMS menerusi penganjuran program itu membuktikan keberkesanan sinergi antara sektor korporat dan institusi pendidikan dalam agenda kelestarian.
Program itu turut dilihat sebagai platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pencemaran marin serta kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai.
Penganjur berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkukuh budaya pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat.






