RANAU, SABAH – Seorang remaja lelaki warga tempatan maut terkena tembakan daripada ‘bakakuk’ atau senapang buatan sendiri milik abangnya sewaktu mereka keluar memburu di kawasan hutan berhampiran kebun kelapa sawit dekat sini, pada pagi Jumaat.
Mangsa, Ilylie Saim @ Imran, 18, beralamat di Kampung Taba Nunuk Ragang, Ranau disahkan meninggal dunia di Hospital Ranau akibat dua kesan tembakan di bahagian dada sebelah kiri dan bahagian atas tulang paha sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah memberitahu bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi di kawasan hutan berhampiran kebun kelapa sawit milik keluarga mereka di Kampung Taba Nunuk Ragang, Ranau.
“Siasatan awal mendapati pada jam 4.30 pagi suspek, yang merupakan abang mangsa berusia 19 tahun bersama mangsa keluar memburu di kawasan terbabit dengan bantuan anjing.
“Lebih kurang 30 minit mereka memburu, anjing mereka menyalak dan suspek berlari ke arah bunyi anjing itu dan ternampak seekor babi hutan lalu di hadapannya dan terus melepaskan tembakan ke arah babi hutan tersebut.
“Selepas itu suspek terdengar suara adiknya meminta tolong dan suspek terus menuju ke arah suara dan dapati mangsa terbaring sambil tangan kanan memegang dada sebelah kiri.
“Dalam keadaan panik suspek terus mengendong mangsa dan balik ke rumah yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari tempat kejadian. Suspek bersama ahli keluarga terus membawa mangsa ke Hospital Ranau dengan menggunakan kenderaan jiran,” jelas beliau.
Menurut Farhan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan setiba mereka di Hospital Ranau.
Pemeriksaan ke atas mayat mangsa menunjukkan dua kesan tembakan di bahagian dada sebelah kiri dan bahagian atas tulang paha sebelah kiri dan senjata yang digunakan dipercayai senjata api buatan sendiri ataupun ‘bakakuk’.
Beliau menambah, senjata terbabit masih berada di lokasi kejadian, manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
– HarianEkspres