Adeola, Anak Jati Tambunan, Raih Emas Pertama di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026

Adeola, Anak Jati Tambunan, Raih Emas Pertama di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert menghadiahkan pingat emas pertama kepada kontinjen Malaysia selepas menjuarai acara Kumite Wanita Bawah 55 kilogram pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Adeola mencipta sejarah itu selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam perlawanan akhir.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejayaan Adeola amat membanggakan seluruh rakyat Sabah, selain membuktikan kemampuan bakat kelahiran negeri ini untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Dari Tambunan ke pentas Asia, Adeola Fay Robert menghadiahkan emas pertama Malaysia.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert yang mencipta sejarah dengan meraih pingat emas pertama kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara Kumite Wanita Bawah 55 kilogram,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.

Hajiji berkata, kejayaan itu meneruskan pencapaian cemerlang Adeola selepas membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor.

“Daripada kejayaan membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah meraih emas di SUKMA XXII Selangor, kini Adeola membawa nama Sabah dan Malaysia ke pentas Asia.

“Perjalanannya membuktikan bahawa bakat anak-anak Sabah mampu pergi jauh apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang,” katanya.

Beliau berharap kejayaan berkenaan akan menjadi inspirasi kepada golongan muda di Sabah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Tahniah Adeola! Teruskan melakar sejarah dan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Sabah.

“Dari Tambunan, kamu telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia. Kami bangga dengan kamu,” katanya.