KOTA KINABALU: Kerja penyelenggaraan dan penambakan jalan di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej Kerja WP07 di Jalan KK-Kudat, Kampung Tebobon, telah selesai dilaksanakan susulan aduan orang ramai mengenai masalah lubang jalan yang kerap berulang.
Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Bonaventure Boniface, berkata aduan itu turut membabitkan masalah kesesakan lalu lintas di Ch.1+000 hingga Ch.1+300 LHS.
Menurutnya, susulan aduan berkenaan, Kontraktor Pakej Kerja (WPC) digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan penambakan.
“Kerja-kerja penambakan telah dilaksanakan pada waktu malam untuk memperbaiki keadaan jalan dan melancarkan aliran trafik.
“Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambakan jalan di bawah Pan Borneo Highway Sabah (WP07) telah selesai dengan jayanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Bonaventure berkata orang ramai juga digalakkan menggunakan aplikasi rasmi JKR Sabah Fix Apps bagi menyalurkan aduan berkaitan kerosakan jalan, lubang atau masalah infrastruktur supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Katanya, aplikasi berkenaan membolehkan pengguna membuat aduan secara terus, memuat naik gambar masalah serta memantau status aduan yang dikemukakan.
“Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda dalam membantu kami meningkatkan kualiti infrastruktur di Sabah,” katanya.






