TENOM: Ahli-ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Tenom menyatakan sokongan penuh agar Senator Noorita Sual dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Kemabong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Sokongan itu dinyatakan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN N.42 Melalap oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Dataran Malleh, Pekan Tenom, kelmarin.
Majlis berkenaan turut dihadiri pimpinan utama PH, termasuk Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Naib Ketua Wanita PKR Pusat merangkap Ketua Wanita PKR Sabah, Datin Rufinah Pengeran; serta Ketua Cabang PKR Tenom, Herbert Roger.
Dalam satu siaran media oleh PKR semalam mendakwa bahawa, Senator Noorita bukan nama baharu dalam politik pedalaman Sabah.
“Beliau pernah mencatat sejarah apabila memenangi kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Walaupun tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU15, beliau kekal mendapat sokongan padu khususnya di kawasan DUN Kemabong.
“Sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dari 2018 hingga 2022, beliau membawa masuk pelbagai projek pembangunan utama bernilai ratusan juta ringgit, antaranya Projek Naik Taraf Jalan Kemabong–Rundum (RM201 juta), Projek Jalan Mukim Ulu Tomani–Bakuku (RM189 juta), serta pembinaan Kompleks Sukan Daerah Tenom bernilai RM8 juta.
“Beliau juga menyalurkan dana kepada pelbagai inisiatif melibatkan infrastruktur, pendidikan, kebajikan, NGO, wanita, belia, serta aktiviti masyarakat,” jeleas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, sebagai anak jati Kemabong daripada suku kaum Murut Tahol kumpulan pengundi terbesar di kawasan itu serta seorang pemimpin wanita beragama Kristian, latar belakang Noorita dianggap mencerminkan komposisi demografi pengundi DUN Kemabong.






