Ahli KRT Perlu Kuasai Kemahiran Menyelamat, Padam Kebakaran-SKN

Ahli KRT Perlu Kuasai Kemahiran Menyelamat, Padam Kebakaran-SKN

0
SHARE
Safar
Ahemad (tengah) bergambar bersama pasukan Malaysia Airport Sandakan Johan Kategori Kawad Pemadam Kebakaran ERT (Perkhidmatan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT) perlu menguasai kemahiran memadam kebakaran dan penyelamatan mangsa di premis masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata kemahiran itu dapat mengurangkan kerugian dan mengawal jumlah kemalangan daripada meningkat terutamanya di premis dan bangunan berisiko.

“Ini kerana mereka (ERT) merupakan barisan hadapan yang terlebih dahulu melakukan pemadaman bagi membendung kemerebakan api yang lebih serius sebelum menanti ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

“Oleh itu, sekiranya gagal membentuk sebuah pasukan ERT yang terbaik ia boleh diandaikan seperti meletakkan risiko kerugian besar yang boleh dijangka lebih awal lagi.

“Melalui pasukan organisasi yang terlatih, secara langsung dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini khususnya dengan memastikan pengurusan risiko dapat dilaksanakan melalui penggunaan sumber secara teratur dan dalam julat kerugian yang kecil,” katanya semasa Majlis Makan Malam Penutupan Latihan Pemantapan Kecekapan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT).

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Ahemad Sade di majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah tahun 2024, pada Sabtu.

Menurut Safar, program latihan itu sangat baik dan menunjukkan impak positif serta membuktikan usaha berkesan JBPM dalam melaksanakan tugas memberi kesedaran dan latihan pengurusan risiko kebakaran.

“Pekerja atau kakitangan yang dilatih dengan kaedah mencegah dan berhadapan dengan bencana kebakaran membolehkan mereka menjalankan kerja penyelamatan secara sistematik, selamat dan efisien.

“Penyertaan dalam pasukan organisasi ini juga adalah satu laluan yang tepat dan latihan seumpama ini akan menjadikan mereka mempunyai kelebihan dan peranan yang tinggi berbanding kakitangan yang lain,” ujarnya.

Program tersebut disertai 1,260 peserta daripada 126 pasukan yang bertanding berbanding hanya 87 pasukan pada tahun lepas.

Sementara itu, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Latihan Pemantapan Kecekapan ERT 2024.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM,Datuk Nor Hisham Mohammad, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sabah, Farhan Sufyan Borhan dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Noor Alam Khan A. Wahid Khan. — JABATAN PENERANGAN SABAH