Ahli Parlimen Perlu Speaker, Bukan ‘Monitor’ Bilik Darjah

Ahli Parlimen Perlu Speaker, Bukan ‘Monitor’ Bilik Darjah

0
SHARE
Dewan Rakyat...

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan cadangan supaya nama ahli Parlimen yang sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen dipaparkan di laman sesawang bukanlah reformasi yang ditunggu-tunggu.

Memetik sumber FMT, sebaliknya, bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, Dewan Rakyat memerlukan reformasi lebih besar dan bermakna seperti mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.

“(Ia bagi) menjadikan Parlimen cabang kerajaan bebas daripada eksekutif supaya Parlimen dapat berfungsi dengan efektif dalam sistem berkerajaan yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa.

“Speaker Dewan Rakyat perlu ada wawasan lebih murni dan berwibawa tinggi untuk membina amalan demokrasi berparlimen lebih bermakna,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Johari Abdul, mengenai tindakan memaparkan nama ahli Parlimen yang sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ di laman web Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, ia antara beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen yang diwakili.

Dalam pada itu, Hassan menyifatkan cadangan disuarakan Johari itu menghampiri perilaku memfitnah sambil menegaskan ahli Parlimen tidak sewajarnya dilayan seperti kanak-kanak sekolah.

“Ahli Parlimen memerlukan seorang Speaker, bukannya ‘monitor’ bilik darjah. Ahli Parlimen perlu dipandang dengan hormat dan bersangka baik, bukannya sangkaan buruk dan bersikap malice (berniat jahat) terhadap mereka,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika mengulas isu sama menegaskan perlu ada tatacara atau alasan yang munasabah sekiranya cadangan disuarakan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu ingin dilaksanakan.

Katanya, jika ahli Parlimen itu di pihak kerajaan sudah pasti ada bertaraf menteri ataupun timbalan menteri yang tentunya mempunyai banyak urusan menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk hadir di Dewan Rakyat.

“Saya setuju mengenai perkara itu, tetapi sebenarnya bila kita mahu siarkan nama siapa yang ponteng itu perlu ada tatacara atau alasan yang munasabah,” katanya.