Akibat Menghidu Gam, Seorang Remaja Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 8

Akibat Menghidu Gam, Seorang Remaja Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 8

0
SHARE

KOTA KINABALU – Seorang remaja lelaki yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan Api-Api Centre, Kota Kinabalu, jam 9.50 malam tadi, dipercayai menghidu gam bersama seorang lagi rakannya.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa berusia 15 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala rakannya berusia 16 tahun yang cedera kini dalam pemerhatian di Zon Kuning Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE II).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan mendapati dua mangsa terbabit terjatuh dari bumbung di tingkat lapan blok 2 menyebabkan seorang daripadanya maut.

“Pemeriksaan di bumbung tingkat lapan menemui plastik berisi tin gam dan satu plastik berisi gam.

“Kedua-dua mangsa ini dipercayai menghidu gam sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, mayat mangsa dihantar ke HQE I untuk bedah siasat manakala rakannya masih dirawat di HQE II.

“Tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga atau mengawasi pergerakan anak-anak agar tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti menghidu gam.