KOTA KINABALU: Kejayaan telemovie tempatan “Aku, Kau dan Dia” membuktikan penggiat kreatif Sabah mempunyai kemampuan dan potensi menghasilkan karya berkualiti, bernilai komersial serta mampu diketengahkan kepada khalayak lebih luas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan karya terbitan Datin Seri Nollyzai Datuk Awg Sham menerusi Del Films Production itu juga memperlihatkan bakat tempatan mampu memainkan peranan lebih besar dalam perkembangan industri kreatif.
Telemovie berkenaan dihasilkan di bawah Dana Program TV Borneo dan bakal disiarkan kepada penonton televisyen di Malaysia.
“Bagi saya, kejayaan menghasilkan karya seperti ini membawa makna yang lebih besar daripada penerbitan sebuah telemovie semata-mata.
“Ia membuktikan bahawa penggiat kreatif dari Sabah mempunyai kemampuan, bakat dan potensi untuk menghasilkan karya yang berkualiti, mempunyai nilai komersial serta mampu bersaing dalam pasaran kandungan yang semakin luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena tayangan dan pelancaran telemovie “Aku, Kau dan Dia”, di sini pada Khamis.
Nizam berkata, Sabah sememangnya tidak kekurangan bakat dengan ramai penulis, pelakon, pengarah, penerbit, jurukamera, editor, tenaga teknikal serta anak muda kreatif yang mempunyai kemampuan untuk berkembang dalam industri berkenaan.
Menurutnya, apa yang diperlukan adalah peluang, pendedahan dan ruang untuk membolehkan bakat tempatan terus berkembang dan membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kita mahu melihat lebih banyak kandungan yang lahir dari Sabah, bukan sekadar karya yang dibuat di Sabah, tetapi karya yang membawa cerita, identiti dan bakat Sabah kepada khalayak yang lebih luas.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” katanya.
Beliau berkata, aspirasi itu termasuk melihat lebih banyak karya dari Sabah berada di kaca televisyen dan layar perak, selain memastikan bakat tempatan mendapat tempat di peringkat nasional serta mampu menembusi pasaran antarabangsa pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Nizam berkata, ekonomi kreatif tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai hiburan kerana sektor berkenaan mempunyai rantaian nilai luas yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan menjana aktiviti ekonomi.
Katanya, sesebuah produksi turut memberi manfaat kepada kru produksi, tenaga teknikal, penulis, jurusolek, pereka kostum, pengusaha peralatan, pengangkutan, penyedia makanan, penginapan, pemilik lokasi serta pelbagai perkhidmatan sokongan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui kementeriannya memberi perhatian terhadap pembangunan ekonomi kreatif sebagai sektor yang berpotensi menjana peluang dan pendapatan kepada rakyat Sabah, khususnya golongan muda.
Nizam berkata, karya televisyen dan filem juga mempunyai kekuatan untuk memperkenalkan Sabah kepada khalayak luar menerusi keindahan alam semula jadi, kepelbagaian masyarakat, adat, budaya, makanan serta lokasi yang mempunyai nilai visual dan penceritaan tersendiri.
Beliau berharap lebih ramai penggiat kreatif menghasilkan karya yang bukan sahaja menggunakan Sabah sebagai latar, tetapi turut menjadikan identiti dan keunikan negeri sebagai sebahagian daripada kekuatan penceritaan.
Pada masa sama, katanya, kementeriannya akan terus terbuka untuk bekerjasama dengan penggiat kreatif, syarikat produksi, agensi berkaitan dan sektor swasta bagi memperluas pembangunan bakat serta aktiviti ekonomi kreatif di Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FINAS atas sokongan dalam membuka ruang kepada penggiat kreatif menghasilkan karya dan mengembangkan potensi mereka.
“Saya percaya dengan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, agensi, pemain industri dan sektor swasta, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi kreatif yang penting di negara ini,” katanya.
Nizam turut mengucapkan tahniah kepada Nollyzai selaku penerbit, Del Films Production, barisan pelakon, kru produksi, karyawan serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan “Aku, Kau dan Dia”.
Beliau berharap kejayaan telemovie itu menjadi pencetus kepada penghasilan lebih banyak karya tempatan serta memberi semangat kepada generasi muda Sabah untuk membina kerjaya secara profesional dalam sektor ekonomi kreatif.






