KOTA KINABALU: Seorang ibu dari Kota Belud merayu bantuan pihak berkuasa untuk mengesan anaknya, Allen, 26, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja selepas gagal dihubungi keluarga sejak lebih enam minggu lalu.
Allen dipercayai berlepas ke Kemboja pada 26 Disember 2025 selepas menerima tawaran kerja luar negara selepas tamat pekerjaan dengan sebuah syarikat luar pesisir.
Ibunya berkata, hubungan mereka terputus sekitar enam hingga tujuh minggu lalu sebelum keluarga menerima panggilan WhatsApp daripada individu yang mendakwa rakan Allen, meminta AS$6,000 (kira-kira RM25,000) sebagai bayaran awal untuk membebaskannya yang dikatakan ditahan di Kemboja.
“Mereka meminta AS$6,000 sebagai bayaran awal untuk pembebasan anak saya,” katanya pada sidang media, Rabu.
Penyelaras MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, permintaan wang itu menimbulkan kebimbangan Allen menjadi mangsa sindiket scam pekerjaan yang memperdaya mangsa dengan tawaran kerja sebelum membawa mereka ke pusat penipuan di Kemboja.
Beliau berkata MHO akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mengesan lokasi Allen, namun usaha itu mencabar kerana tiada maklumat sah mengenai keberadaannya.
Jerry turut menasihatkan keluarga mangsa supaya tidak membayar wang tebusan kerana tiada jaminan mangsa akan dibebaskan selepas bayaran dibuat.






