HALMAHERA SELATAN, INDONESIA – Baru-baru ini berlaku peristiwa abang mengambil tempat adik yang melarikan diri pada hari pernikahan. Namun kali ini si bapa pula terpaksa memikul tanggungjawab anaknya.
Itulah yang berlaku kepada seorang pengantin perempuan yang bernasib malang di Desa Jikotamo, Kecamatan Obi, sini, apabila calon suaminya cabut lari sebelum pada hari majlis akad nikah.
Wanita itu akhirnya dinikahkan dengan bakal bapa mentuanya sendiri pada 29 Ogos lalu.
Ijab kabul antara bapa lelaki dan wanita yang sepatutnya menjadi menantunya tular di Instagram @in_formania baru-baru ini.
Memetik TribunNews, abang kepada wanita itu berkata, keluarganya datang ke lokasi akad nikah sebaik sahaja mendapat khabar.
“Para tetamu sudah datang untuk memenuhi undangan pernikahan.
“Keluarga lelaki itu kemudian memberitahu yang anak mereka hilang tanpa dapat dikesan walhal lelaki itu telah menjalin hubungan cinta yang agak lama.
“Malah lelaki itu pernah ditangkap basah di dalam bilik perempuan itu,” katanya.
Tambahnya, keluarga itu mengalami “kerugian” sehingga Rp25 juta (RM7,630) bagi menguruskan persiapan majlis pernikahan.
Mengulas lanjut, abang kepada lelaki ghaib yang dikenali sebagai Isra berkata mereka telah berbincang kes orang hilang itu dengan pihak polis namun belum membuat laporan rasmi.
“Kita tunggu dulu,” katanya sambil menyatakan nombor telefon kepada orang awam jika ada terlihat Isra.
Keluarga itu juga meluahkan perasaan malu dan merasa seolah dipergunakan ekoran insiden berkenaan.