Anak Sabah Bangunkan Sistem AI Pantau Keselamatan Individu Autisme

Anak Sabah Bangunkan Sistem AI Pantau Keselamatan Individu Autisme

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sekumpulan inovator tempatan Sabah membangunkan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong keselamatan dan menganalisis tingkah laku individu autisme.

Inovasi dikenali sebagai AI Autism Research & Warning System (ARAWS) itu dibangunkan oleh Mohd Sukri Umar, Mathiew Sungkit, Jamlee Yanggitom dan Hasfaizah Zaini di bawah Persatuan Inovasi Kota Kinabalu Sabah (PIKKSA).

Sistem berkenaan merupakan antara inovasi tempatan yang diketengahkan menerusi Simposium Perubatan Sukan Kinetic Next 2026, sekali gus memperlihatkan potensi penggunaan teknologi AI dalam bidang penjagaan kesihatan dan sokongan komuniti.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inovasi tidak seharusnya dilihat sebagai pembangunan teknologi atau produk komersial semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kepakaran profesional dan pendekatan kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Inovasi melangkaui teknologi dan produk komersial. Ia turut merangkumi pengetahuan profesional, penambahbaikan amalan serta pendekatan kerjasama yang berpotensi memberikan manfaat bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I kementerian, Doria Tai Yun Tyng pada simposium yang berlangsung baru-baru ini di Hotel 7, Suria Mall.

Program itu melibatkan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), PIKKSA, Unit Perubatan Sukan Hospital Queen Elizabeth serta Persatuan Perubatan Sukan Kinabalu (KIASM).

Selain ARAWS, inovasi tempatan lain yang diketengahkan ialah PaduBall, sukan berasaskan raket yang dibangunkan oleh AG Ahmad Mohd Yunus dan masih berada di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menerusi kerjasama berterusan dengan inovator tempatan, institusi dan organisasi profesional, KPSTI serta SCENIC berusaha memperkukuh ekosistem inovasi Sabah bagi memastikan kepakaran dan idea tempatan dapat diterjemahkan kepada manfaat praktikal untuk masyarakat.