AYER KEROH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen beliau untuk terus mempertahankan kestabilan politik negara dengan mengekalkan kerjasama kukuh bersama Barisan Nasional (BN) dan UMNO di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Presiden PKR itu berkata asas pembentukan Kerajaan Perpaduan dibina atas kesedaran serta hikmah untuk memulihkan ekonomi negara, bukannya berlandaskan kemarahan mahupun emosi politik sempit.
Beliau berkata hubungan peribadi beliau dengan pimpinan utama parti gabungan merangkumi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kekal berada pada tahap terbaik.
“Tanya saya apa pilihan saya? Saya pilih kestabilan, saya pilih kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi, dan saya pilih untuk terus bekerjasama dengan Barisan Nasional dan UMNO di peringkat Pusat supaya dua prinsip ini diteruskan.
“Pilihan itu pilihan saya, pilihan mereka biar mereka jawab. Sebagai sebuah parti perjuangan, apa pun kita bersedia. Tetapi kita harus jaga perpaduan ini dengan penuh hikmah kerana hubungan peribadi saya dengan Datuk Seri Zahid masih terlalu baik dan kita boleh berunding secara sahabat,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Presiden pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC) di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa perwakilan negeri secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan segelintir rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO, menyusul beberapa keputusan mengejutkan di peringkat negeri yang dibuat secara unilateral tanpa rundingan mahupun pemakluman awal kepada pimpinan PKR.
Mengulas mengenai dinamik politik di peringkat negeri, Anwar mengakui wujud beberapa keputusan mengejutkan kebelakangan ini, namun menasihatkan agar semua pihak tidak bertindak terburu-buru.
“Apa yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini ialah beberapa keputusan mengejutkan yang tidak dimaklumkan kepada kita. Alasan mereka strategi pengukuhan parti, itu hak mereka.
“Tetapi dalam satu pakatan mestilah ada kesetiaan, berunding dengan baik dan saling menghormati. Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu. Harga untuk menjaga dan membina negara ini terlalu tinggi, maka gunakanlah kebijaksanaan agar tidak bertindak secara gopoh,” katanya.






