KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan LIMA (5) lelaki tanpa dokumen pengenalan diri yang bekerja di atas bot pukat tunda, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, bot pukat tunda tersebut ditahan di perairan Kota Kinabalu pada kedudukan 0.73 batu nautika utara Pulau Manukan sekitar jam 11.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan bersama empat kru bot pukat tunda terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah…

“Kesemua mereka berusia lingkungan 17 hingga 29 tahun dan disyaki warga Indonesia,” beliau berkata dalam sebuah kenyataan.
Rosli berkata bot pukat tunda, juragan dan kru telah ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Juragan dan kru bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama…
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh juga dikenakan sehingga enam (6) sebatan,” jelasnya.
Katanya, Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan akan terus tingkatkan operasi mengekang kemasukan PATI berikutan beberapa kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan melalui sektor ekonomi dan sosial.
“Maritim Malaysia turut memandang serius kepada aktiviti jenayah laut yang lain seperti penyeludupan, pencerobohan bot nelayan asing dan aktiviti pengemboman ikan,” tegas Rosli.





