Aset TUDM Ditambah Baik Dan Terus Terpelihara Bagi Pastikan Kedaulatan Negara

Aset TUDM Ditambah Baik Dan Terus Terpelihara Bagi Pastikan Kedaulatan Negara

0
SHARE
Helikopter TUDM yang ditunjukkan dalam Demonstrasi Eksesais ABABIL 2021 di Lapang Sasar Udara Kota Belud hari ini, 14 Sept...(Kredit Foto: MAHA)

KOTA BELUD, SABAH – Penambahbaikan secara berterusan kepada aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memastikan kedaulatan negara sentiasa dipelihara.

Meskipun pesawat pejuang kita iaitu F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208 berumur hampir 30 tahun, sistem persenjataan yang dilengkapi dengan teknologi terkini bagi memberi sengatan berbisa kepada ancaman musuh kepada negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang berkata penggantian kepada pesawat baru dalam perancangan strategik.

 

Antara pesawat tempur dan helikopter TUDM yang ditunjukkan dalam Demonstrasi Eksesais ABABIL 2021 di Lapang Sasar Udara Kota Belud hari ini (14 Sept)…(Kredit Foto: MAHA)

“Kita melihat jangka masa proses perolehan akan dibuat bila pesawat yang sedia ada mencapai umur tidak efektif…

“Sama ada lambat atau tidak, ianya semua bergantung kepada sumber kewangan negara. Tapi usaha penyelenggaraan sentiasa dilakukan bagi mengelak risiko ancaman pertahanan kita,” katanya.

Beliau menyamakan situasi tersebut seperti memiliki sebuah kereta lama yang perlu berulang kali masuk bengkel setelah sekian lama sehinggalah tiba masa membeli yang baru.

“Perbelanjaan (penyelenggaraan) meningkat dan kita mau sesuatu pesawat efektif tapi pada masa yang sama kos selenggara berada ditahap rendah,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang pada sidang media selepas Demonstrasi Eksesais ABABIL 2021 di Lapang Sasar Udara Kota Belud hari ini (14 Sept)..

Beliau ditemui pada kemuncak Eksesais ABABIL 2021 di Lapang Sasar Udara sini yang bermula seminggu lalu. Ia merupakan antara eksesais terbesar yang dilaksanakan oleh TUDM.

Eksesais ABABIL merangkumi latihan Tembakan Misil Udara ke Udara (Air to Air Missile Firing – AAMF), Tembakan Misil Udara ke Permukaan (Air to Surface Missile Firing – ASMF) dan Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (Air to Ground – ATG) untuk mensimulasikan keadaan perang sebenar.

Pesawat tempur dan helikopter TUDM dalam Eksesais ABABIL 2021…(Kredit Foto: MAHA)

Katanya objektif utama eksesais ini adalah untuk menguji keupayaan, kompetensi dan kesiagaan pesawat dan anak kapal TUDM.

“Meskipun terdapat cabaran situasi krisis kesihatan global pada tahun ini, namun perancangan teratur telah dibuat supaya eksesais ini dapat dilaksanakan dan mencapai objektif yang ditetapkan…

“Ianya selaras dengan Teras Keempat yang termaktub di dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM,” katanya.

Ke arah itu, Affendi berkata TUDM perlu mengoptimumkan sumber kepada keperluan misi operasi, eksesais dan latihan kemahiran selain menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersiap siaga.

“Sejajar dengan visi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang dominan, TUDM akan terus memastikan tahap keupayaan, kesiagaan dan kebolehoperasian yang tinggi…

“Ini menjadi keutamaan khususnya di dalam menjaga kedaulatan negara serta mendukung Kertas Putih Pertahanan dengan visi Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” tegasnya.