Atlet Olahraga Qatar Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

Atlet Olahraga Qatar Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

0
SHARE
Abdalelah Haroun...

DOHA, QATAR – Persekutuan Olahraga Qatar dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan atlet negara itu, Abdalelah Haroun, 24, yang pernah memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Dunia 2017 telah meninggal dunia dalam satu nahas kemalangan jalan raya.

Memetik laporan AFP, Setiausaha Agung Persekutuan Olahraga Qatar, Mohammed Issa al-Fadala berkata; “Haroun meninggal dunia dalam kemalangan kereta di Doha.”

“Dia berada dalam program pemulihan selepas pulih dari kecederaan (sebagai persediaan) untuk kelayakan ke Olimpik Tokyo. Sukan dan olahraga Qatar di peringkat global, kehilangan wira yang hebat.”

Jawatankuasa Olimpik Qatar yang berdukacita atas kehilangan pelari negara itu turut berkabung.

“Pasukan pecut #Qatar dan pemenang pingat gangsa 400m dunia, Abdalelah Haroun meninggal dunia hari ini,” kata kenyataan mereka di laman Twitter – bersama gambar hitam putih atlet itu yang memegang sejambak bunga dan bendera Qatar.

Haroun memenangi gangsa peringkat dunia dengan catatan masa 44.48 saat di belakang pemenang dari Afrika Selatan, Wayde van Niekerk dan wakil Bahamas, Steven Gardiner.