KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lepas bukan satu perkara sia-sia walaupun pembubaran Parlimen diumumkan pada Isnin (10 Okt).
Beliau berkata belanjawan itu adalah komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibawa semula ke persidangan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) memerintah semula.
“Saya tidak anggap ia sia-sia sebaliknya ia adalah apa yang akan dibawa semula ke Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum nanti sekiranya mandat diberikan semula kepada Datuk Seri Ismail Sabri…
“Jadi rakyat tahu bahawa inilah yang akan dibawa semula oleh Datuk Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi BN sekiranya mendapat mandat daripada rakyat.
“Semua yang ada dalam pembentangan Menteri Kewangan itu adalah perbelanjaan yang sudah diperuntuk. Ia bukan manifesto berdasarkan janji-janji yang tidak diperuntuk, itu beza antara belanjawan dan manifesto,” katanya.
Khairy berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku ‘An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan pembentangan Bajet 2023 hanya sia-sia apabila Parlimen dibubar sebelum ia diluluskan.
– BERNAMA