KOTA KINABALU: Perbandingan secara langsung antara tarif elektrik Sabah dan Sarawak disifatkan tidak relevan kerana kedua-dua negeri mempunyai struktur penjanaan tenaga serta kelebihan sumber yang berbeza, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kinabatangan, Aksyah Nasrah.
Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan Johnny S.H. Liew yang mempersoalkan pelarasan tarif elektrik Sabah dengan membandingkannya dengan kadar tarif serta pemberian diskaun bil elektrik di Sarawak.
Menurut Aksyah, perbandingan itu tidak mengambil kira kelebihan geografi dan infrastruktur tenaga Sarawak yang mempunyai empangan hidroelektrik berskala besar seperti Bakun dan Murum.
Sebaliknya, katanya, sistem tenaga Sabah sebahagian besarnya masih bergantung kepada gas asli dan bahan api yang kosnya turut dipengaruhi pasaran dunia.
“Untuk menuntut kadar tarif yang sama tanpa memiliki struktur grid yang sama adalah seperti meminta sebuah kereta Kancil memecut selaju kereta Ferrari. Ia tidak logik.
“Membandingkan kos elektrik Sabah dengan Sarawak secara bulat-bulat adalah satu bentuk kedangkalan akademik dan hanya berniat untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata kerajaan negeri tidak pernah menafikan nilai RM15 kepada keluarga yang memerlukan dan menyedari setiap peningkatan perbelanjaan memberi kesan kepada isi rumah.
Bagaimanapun, katanya, pelarasan tarif berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas iaitu usaha menstruktur semula sektor tenaga serta memperkukuh grid elektrik Sabah untuk jangka panjang.
“Kita tidak menafikan bahawa RM15 itu mempunyai nilai buat keluarga yang memerlukan. Kerajaan Negeri amat sedar akan perkara ini.
“Hakikatnya, tujuan sebenar pelarasan berhemah ini adalah untuk menstrukturkan semula kadar penggunaan supaya 85 peratus pengguna domestik terlindung daripada impak yang ekstrem,” katanya.
Beliau berkata pelarasan itu bukan bertujuan mengaut keuntungan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pelaburan struktur untuk meningkatkan kebolehpercayaan sistem tenaga negeri.
Aksyah turut merujuk peningkatan jidar simpanan atau reserve margin Sabah yang menurutnya meningkat daripada paras kritikal lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini dan berada pada landasan mencapai 26 peratus menjelang akhir 2026.
“Ini bukan sekadar janji kosong di atas kertas; ini adalah angka pencapaian yang sedang merawat masalah catuan elektrik (blackout) kronik yang selama ini membebankan peniaga kecil, sekolah dan hospital di Sabah,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa kenaikan kos elektrik boleh dipindahkan kepada pengguna menerusi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, Aksyah berkata isu itu perlu dinilai bersama kerugian yang ditanggung perniagaan akibat bekalan elektrik tidak stabil.
“Mana yang lebih membebankan perniagaan dan kilang-kilang kecil di Sabah? Membayar pelarasan tarif yang minimum untuk bekalan elektrik yang stabil sepanjang hari, atau menanggung kerugian beribu-ribu ringgit setiap bulan akibat barangan rosak apabila elektrik terputus secara tiba-tiba?
“Bekalan elektrik yang tidak boleh dipercayai itulah kos tersembunyi (hidden cost) sebenar yang membunuh ekonomi rakyat,” katanya.
Menurutnya, usaha membina keterjaminan tenaga di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 memerlukan keputusan jangka panjang termasuk pembangunan loji gas di Sandakan dan Tawau, selain pembangunan Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Beliau berkata langkah berkenaan penting khususnya dalam memastikan kawasan Pantai Timur Sabah memperoleh bekalan tenaga yang lebih stabil.
Aksyah pada masa sama mengingatkan supaya perbandingan mengenai tindakan Sarawak memberikan diskaun elektrik dan Sabah melaksanakan pelarasan tarif tidak digunakan tanpa mengambil kira keseluruhan struktur tenaga kedua-dua negeri.
“Berhentilah memukau rakyat dengan retorik ‘Sarawak beri diskaun, Sabah naikkan tarif’. Kita mesti berani menerima hakikat bahawa untuk menikmati sistem grid yang moden dan stabil, kita perlu membetulkan strukturnya terlebih dahulu.
“Jika kita ingin menikmati sesuatu yang baik untuk jangka masa panjang, maka sudah tentu kita juga perlu bersedia melabur untuk harganya,” katanya.






