KOTA KINABALU: Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu pada 28 September lalu tidak boleh dilihat daripada faktor hujan semata-mata, sebaliknya keupayaan sistem perparitan dan saliran bandar serta pengurusannya turut perlu dinilai.
Pakar hidrologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin berkata, hujan pada hari berkenaan tidak boleh dianggap terlalu luar biasa bagi iklim tropika Sabah, meskipun terdapat episod hujan berintensiti sangat tinggi dalam tempoh singkat.
Menurutnya, corak hujan konvektif seperti itu adalah sesuatu yang biasa berlaku di Sabah.
“Secara keseluruhannya, hujan pada hari tersebut bukanlah terlalu lebat. Namun terdapat episod hujan yang sangat intensif dalam tempoh singkat atau very intense short-duration rainfall.
“Apa yang menarik ialah walaupun jumlah hujan tidak terlalu tinggi, banjir kilat masih berlaku di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu. Ini menunjukkan kita tidak boleh melihat faktor hujan semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dr. Kawi berkata, kejadian berkenaan seharusnya menjadi petunjuk supaya keupayaan sistem perparitan dan saliran bandar, perubahan guna tanah, peningkatan kawasan berturap, keadaan saluran air serta keupayaan pelepasan air di kawasan rendah turut dinilai.
Selain kapasiti sistem perparitan, katanya, pengurusan sampah sarap dan bahan puing yang berpotensi menyekat atau mengganggu aliran dalam sistem saliran sedia ada juga perlu diberikan perhatian.
“Sistem yang mempunyai kapasiti mencukupi sekalipun boleh terjejas sekiranya laluan air tidak dapat berfungsi pada tahap yang sepatutnya.
“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak hujan yang turun, tetapi seberapa cepat air hujan menjadi larian permukaan dan sama ada sistem perparitan mampu mengalirkannya pada kadar tersebut,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya hujan yang tidak terlalu luar biasa sudah menyebabkan banjir kilat di lokasi tertentu, keadaan sistem tadahan, saliran serta pengurusannya di kawasan terbabit perlu diteliti dengan lebih dekat.
“Jika kejadian hujan yang tidak terlalu luar biasa sudah menyebabkan banjir kilat di lokasi tertentu, maka ada sesuatu pada sistem tadahan, saliran serta pengurusannya di kawasan berkenaan yang perlu kita lihat dengan lebih dekat,” katanya.
Dr. Kawi berkata, data hujan beresolusi tinggi di peringkat tempatan juga penting untuk dipadankan dengan rekod kejadian banjir supaya punca sebenar dapat dikenal pasti dan langkah mitigasi dapat dirancang dengan lebih tepat.






