Bantuan Kerajaan Negeri Kepada Rakyat Adalah Mandat, Bukan Tiru Dasar Pihak Lain...

Bantuan Kerajaan Negeri Kepada Rakyat Adalah Mandat, Bukan Tiru Dasar Pihak Lain – Fairuz

0
SHARE
Datuk Fairuz Renddan, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat merangkap Pembantu Menteri Belia dan Sukan...

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan usaha kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat adalah hasil tanggungjawab mandat yang diberikan, bukan kerana meniru dasar pihak lain atau sekadar ‘gula-gula’ politik musim pilihan raya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sejak awal mengambil alih pentadbiran telah komited melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat secara berterusan.

“Siapa kata bila jadi kerajaan, kita bantu rakyat sebab tiru kerajaan lepas atau curi idea orang? Sejak bila pula memberi bantuan dianggap mencuri dasar orang?

“Kalau tiada modal untuk menghentam, lebih baik diam daripada terus membuat dosa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu turut mengingatkan agar tiada pihak membuat tuduhan melulu dengan melabelkan usaha kerajaan negeri sebagai strategi politik semata-mata.

Beliau berkata, hala tuju kerajaan negeri jelas untuk melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang, termasuk menitikberatkan kemajuan pendidikan dan intelektual anak negeri melalui pelbagai pelan serta tabung pendidikan.

Dalam masa sama, Fairuz menyeru rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan media sosial dengan mengelakkan sikap tergesa-gesa dan emosi ketika memberi pandangan.

“Dalam suasana media sosial serba canggih, semua orang mahu jadi pakar. Malangnya masih ada yang dangkal dan hanya bertindak mengikut emosi. Ini memalukan kerana kita ada adab dan nilai murni yang perlu dipelihara,” tegasnya.